05 Mei 2009

SATU LAGI KHAZANAH ALAM YANG TIDAK TERNILAI

BERUANG MADU DI TAMAN RUSA

INFORMASI tentang Deerland Park atau Taman Rusa di Lancang, Pahang bukanlah saya dapati menerusi laman web rasmi taman itu memandangkan tiada laman web rasmi Deerland Park yang dibangunkan sebagai rujukan.
Peringkat awalnya beberapa teman yang pernah berkunjung memaklumkan tentang keterujaan mereka. Hasilnya, dengan satu klik entri ‘DEERLAND’ di enjin pencari Google, berjujuk maklumat tidak kira paparan menerusi lelaman web agro tourism, blog persendirian mahu pun pop up di frame emel, kesemuanya tentang Deerland, Lancang.
Namun apa yang lebih menakjubkan bila 90 peratus daripada maklumat itu dipancarkan daripada laman web luar negara, menunjukkan prestij taman safari milik persendirian itu sebenarnya lebih menyerlah di mata orang luar.
Justeru, saya dan jurufoto tidak menunggu lebih lama untuk merasai sendiri pengalaman itu. Lalu, siapa sangka keputusan meninggalkan ibu kota pada satu pagi Sabtu itu sebenarnya menghadiahkan sebuah pengalaman yang unik buat kami.
Perjalanan selama dua jam dari Kuala Lumpur tidak terasa penatnya bila melangkah ke rimba seluas empat hektar milik Abdullah Ahmad Mahmud. Bahang kota cepat benar menghilang berganti tenaga oksigen segar perbukitan Kampung Sokmik, Bukit Rengit, Lancang, Pahang yang melatari kediaman lebih 160 spesis mergastua ini.
Apatah lagi dengan keramahan tuan rumah yang membuatkan kami semakin selesa. Kami dibawa menjenguk dan bermain dengan si Muda; beruang madu tempatan yang menurut Abdullah adalah antara spesis beruang garang dan sukar didekati manusia. Sedang pasangannya Dayang terpaksa dikuarantinkan buat sementara lantaran musim mengawan.
Berbeza Dayang yang seakan tiada ‘mood’ pada pagi itu, Muda sebaliknya sangat ceria ‘melayan’ anak-anak kecil juga pengunjung dari dalam dan luar negara yang ingin bergambar rapat dengannya. Saya sendiri pada mulanya merasa agak cuak, manalah tahun kalau-kalau haiwan berkuku tajam ini berkenan untuk merobek isi perut saya. Namun setelah diyakinkan oleh penjaganya iaitu Zulkifli, saya merapatkan diri dan mengusap-usap belakang Muda.
“Umur Muda lapan tahun dan ia dibela di sini sejak usia bayi. Abdullah mendapatkan Muda daripada komuniti orang asli setelah ibu dan bapa beruang ini telah mati ditembak ketika ia dilahirkan. Dan sejak itulah Abdullah membesarkan Muda bagaikan ahli kelurganya sendiri,” ujar Zulkifli menceritakan.
Nurani haiwan pun pandai membalas budi, hati saya berdetik. Apatah lagi bila mendengar kisah dan pengalaman Abdullah,56, tentang beruang kesayangannya itu.
“Selama di sini, Muda dilayan bagaikan ahli keluarga sendiri. Saya berbicara dengannya seperti berkomunikasi dengan manusia. Saya melayannya makan bahkan menyuapkan ke mulutnya sendiri, dan mungkin itulah rahsia yang mengikat antara kami dan haiwan itu,” jelasnya.
“Seorang profesor veterinar pada mulanya ragu-ragu untuk mendekati Muda kerana khuatir haiwan itu akan bertindak agresif, membuat pengakuan bahawa inilah satu-satunya beruang madu di dunia yang mesra manusia.
“Sedangkan tiada teknik veterinari moden yang pernah didokumenkan dapat memesrakan beruang sebegini. Profesor itu benar-benar teruja dan kagum,” jelas Abdullah.
Tambahnya lagi beliau tidak pernah mengamalkan petua pelik dan khurafat untuk menundukkan haiwan. Sebaliknya Abdullah percaya pada satu prinsip mudah, iaitu keikhlasan hati dan niat untuk berbakti kepada sesama makhluk Tuhan telah menjadikan iltizam dirinya semakin kuat untuk menghayati kehidupan dan menjadikan dirinya erat dengan alam.
Demi melangsungkan survival beruang madu tempatan, Abdullah mencarikan pasangan untuk Muda dan hasilnya lahir pula Hitam sejak tiga tahun yang lalu. Namun fitrah haiwan sememangnya berbeza daripada manusia. Biarpun Hitam adalah benih Muda dan Dayang namun Hitam kini terpaksa diasingkan daripada induknya kerana dikhuatiri akan menimbulkan cemburu bapanya lantaran usia Hitam yang semakin dewasa.

Kunjungan lebih 37,000 pengunjung termasuk 7,000 pelancong luar negara sepanjang 2007, membuktikan Deerland Park memiliki pesonanya tersendiri. Taman ini dibuka secara rasmi kepada pengunjung pada Jun 2006. Deerland Park yang diwujudkan untuk menjadikannya ‘taman dunia haiwan dengan persekitaran alam semula jadi’, memberi kelebihan kepada pengunjung mengenali lebih dekat haiwan dan tumbuhan yang terdapat di situ.

Selain beruang madu tiga beranak tadi, beberapa spesies haiwan lain, burung kasawari, rusa, kancil, landak dan burung yang didatangkan khas dari Indonesia, Taiwan, Australia dan spesies tempatan menyerikan lagi Deerland Park dan berjaya menarik perhatian pengunjung. Bahkan menurut Abdullah, beliau sedang berusaha menambah bilangan spesies haiwan dan tumbuhan untuk dijadikan tarikan utama ke taman berkenaan.
“Saya sudah membelanjakan RM300,000 untuk menyediakan segala fasiliti termasuk membeli pelbagai spesis haiwan bagi membolehkan orang ramai melihat haiwan berkenaan dengan lebih dekat.
“Sehingga kini, kita mempunyai tiga spesis rusa yang dibeli di beberapa negara seperti sika dari Taiwan, timur (Indonesia) dan samba (Malaysia). Kehadiran spesies itu banyak membantu memperkenalkan Deerland Park di seluruh negara dan luar negara, sekali gus meningkatkan sektor pelancongan di Temerloh," katanya.
Abdullah yang berasal dari Bentong, berkata impiannya sekarang untuk menjadikan Deerland Park sebagai `Taman Safari' ala Malaysia walaupun tidak mampu menandingi Zoo Negara tetapi yakin, penambahan lebih banyak spesis mampu menarik pengunjung.
“Pengunjung bukan saja di kalangan rakyat tempatan, malah ramai yang datang dari luar negara kerana mahu melihat keindahan alam semula jadi terutama haiwan yang terdapat di negara ini serta Asia," katanya.
Dalam pada itu, Deerland Park juga turut menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk perkhemahan dan aktiviti merentas hutan yang dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 10.30 pagi hingga 5.30 petang. Setakat ini, taman berkenaan mempunyai enam kakitangan tetap dan lima bekerja secara sambilan. Sejumlah RM7,000 diperuntukkan bagi menguruskan taman berkenaan termasuk gaji dan makanan haiwan bagi tempoh sebulan.
Antara aktiviti yang boleh disertai pengunjung di taman ini ialah memberi makan haiwan. Aktiviti seumpama ini ujar Abdullah adalah satu momen yang unik dan mengasyikkan bila mana pengunjung terutamanya si kecil dapat merasai sendiri belaian fizikal dan sentuhan bibir haiwan berkenaan.
“Memang menjadi hasrat dan impian saya untuk mewujudkan persekitaran kasih sayang, cintakan mergastua dan alam semula jadi antara anak-anak dan keluarga serta flora dan fauna, namun dalam masa yang sama penjaga-penjaga di sini akan mengawasi segala aktiviti tersebut pada sepanjang masa,”
Abdullah juga menerangkan pengunjung akan dibawa melawat taman herba miliknya sebaik selesai mengelilingi taman haiwan yang permai itu. Pengalaman serta pembelajaran ringkas berhubung tumbuhan herba dan perubatan tradisi Melayu itu akan dinikmati sambil menyaksikan tumbesaran pepohonan berkenaan kala melalui titi kayu yang didirikan khas merintangi lokasi tersebut.
“Pihak kami akan menguruskan tempahan daripada sesiapa sahaja yang berminat, sama ada untuk bermalam, berkhemah atau mengadakan kem motivasi di sini. Deerland Park juga berbesar hati untuk mengatur acara makan tengahari iaitu makan nasi di dalam buluh di tebing sungai dan berakit di sungai Pahang. Pelancong juga akan belajar cara-cara menyumpit dan kaedah asas survival hidup di rimba seandainya mereka menyertai aktiviti di sini,” terangnya.

Abdullah telah meletakkan sebuah batu asas yang kukuh di sini dan sebagai seorang pengasas, Abdullah berbangga kerana usaha beliau bersama isteri yang juga seorang pencinta alam telah membuahkan hasilnya. Justeru beliau mengharapkan kepada anak-anaknya untuk meneruskan legasi yang telah dibinanya itu.
Pencinta haiwan yang serba sederhana ini berkata pihaknya turut meminta bantuan Kerajaan Pahang dari segi penempatan haiwan ke Deerland Park. Katanya, kehadiran lebih banyak haiwan akan memberikan lebih tarikan serta memberikan satu pengalaman menarik kepada pengunjung.
“Peringkat awalnya memang sukar untuk mendapatkan permit dan keizinan daripada pihak berkuasa untuk membawa masuk haiwan ke sini, namun atas dasar hubungan baik antara pihak saya dan beberapa orang atasan, usaha ini berjaya juga dilaksanakan.
“Saya sangat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak swasta yang sudi menaja makanan haiwan berikutan kos pengurusannya yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. “Setakat ini, segala kos pengurusan diperoleh daripada jualan tiket dan wang sendiri dan saya lakukan ini atas dasar mahu mengekalkan alam sekitar dan memulihara spesis haiwan daripada pupus,” kata Abdullah lagi.

Sementara itu, seorang pelancong dari Alton Hampshire, England, Alan Rixon, 50, berkata dia teruja apabila diberi peluang bermesra dengan beruang madu yang jinak yang menjadi tarikan utama pengunjung ke Deerland Park. Katanya, haiwan yang terdapat di situ juga dilihat selesa bergerak bebas, berikutan keadaan persekitaran asli yang dilitupi tumbuhan hijau.
Meskipun baru pertama kali mengunjungi ke Deerland Park, namun Rixon kerap berulang alik ke Pulau Pinang atas urusan kerjanya. Bagi beliau, menjadi rutin tahunan untuk membawa keluarganya bercuti dan pilihan utama tentulah taman Safari di serata dunia.
Ujarnya, Safari Malam seperti yang terdapat di Singapura atau di Amerika Syarikat dan Eropah amat berbeza kerana Lanchang menawarkan pengalaman yang lebih alamiah. “Ia satu melalui pengalaman yang sangat semulajadi apabila berpeluang melihat lebih dekat dan menyentuh haiwan yang ditempatkan di situ. Kalau ditempat lain, anda cuma sekadar memandang dari jauh dan haiwan-haiwan itu pula dikurung didalam sangkar besar,” jelasnya.
Pandangan Alan dipersetujui oleh isterinya Caroline. “Jika berpeluang, saya akan kembali ke Deerland Park kerana pengalaman berada di sini memang menakjubkan kerana keadaan alam sekitarnya kekal dan tidak tercemar,” ujar Caroline.
“Sepatutnya, lebih banyak kemudahan seperti ini diwujudkan kerana keadaan cuaca dan alam semula jadi di Malaysia sesuai untuk dijadikan taman safari.”
“Saya gembira sepanjang berada di sini kerana pelbagai spesis haiwan seperti rusa, kancil dan burung kasawari menjadi tarikan utama kepada mereka yang gemarkan haiwan. Saya berharap lebih banyak spesis haiwan ditempatkan di sini kerana persekitarannya bersesuaian dengan habitat semua haiwan," katanya lagi
Deerland Park, bagi Caroline adalah tempat paling sesuai bagi mereka yang cintakan alam. “Di sini integrasi antara manusia dan haiwan terserlah dan kita perlu terus mengekalkan keaslianya,” tambah beliau.


Info DEERLAND PARK:
Lokasi : Kampung Sokmik, Bukit Rengit, Lancang, Pahang
Keluasan : 4 hektar
Memiliki lebih 160 spesis mergastua dari dalam dan luar negara.
Didirikan di atas tanah kerajaan melalui hak milik tanah sementara (TOL) yang dimohon dan diusahakan sejak 1996.
Dibuka dari jam 10.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari kecuali Jumaat. Tiket RM5 dikenakan kepada orang dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak bagi pengunjung tempatan. Tiket RM10 dikenakan terhadap orang dewasa dan RM5 kanak-kanak bagi pelancong luar negara

Bagaimana ke sana?:
Hanya dua jam memandu dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Pantai Timur. Selepas tol Lanchang, ambil simpang kanan dan Deerland Park hanya 20 minit sahaja di hadapan.


Pix: anak kubung atau nama saintifiknya Suger Gelider.
Pix utk koleksi gambar herba dan bunga-bungaan: (caption: TARIKAN: Telusuri titi kayu yang dibina khas sepanjang taman herba. Anda akan terpesona dengan puluhan spesis tumbuhan asli herba tempatan yang menyimpan seribu satu penawar untuk segala penyakit).

Tiada ulasan: