30 Mei 2009

adakah kerajaan Malaysia tersalah membuat perjanjian?

HEBOH satu Malaysia bila bekas ketua Parti Komunis Malaya memohon untuk kembali ke Malaysia. Ada yang menyokong, ramai pula yang sentap..konon orang tua yang pernah mengambil banyak nyawa perajurit negara ini tidak akan pernah layak memijak lagi bumi bertuah ini. Persoalannya, benarkah dia tidak layak, atau hanya sentimen kita yang terlalu 'patriotis' atau kita terlalu ikut-ikutan dengan alasan yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Ironinya, Utusan Malaysia hari ini memuatkan kenyataan peguam Chin Peng tentang hasrat lelaki tua yang kini sedang membilang hari untuk pergi selama-lamanya. Cuma aku pelik, kenapa orang atas beria-ia benar dengan penafian dan tidak peduli dengan perjanjian yang pernah ditandatangani itu. Bagi aku yang kadang-kadang terlupa dengan sejarah..sesungguhnya sejarah tidak pernah menipu..

Chin Peng berhak pulang - Peguam- utusan malaysia

PULAU PINANG 29 Mei - Peguam Chin Peng, Darshan Singh Khaira mendakwa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu berhak pulang ke negara ini di bawah perjanjian yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand.

Beliau berkata, klausa 3.1 perjanjian itu menggariskan ahli PKM daripada unitnya yang telah meletakkan senjata dan merupakan seorang yang berasal dari Malaysia serta berhajat untuk kembali ke negara ini wajar diberi kebenaran berbuat demikian.

Bukan setakat itu beliau mendakwa, mereka yang memenuhi syarat tersebut telah dijanjikan untuk diberi bantuan bagi memulakan kehidupan baru.

''Selepas perjanjian dimeterai, semua bekas pemimpin PKM termasuk Rashid Mydin dibenarkan pulang namun saya musykil kenapa Chin Peng seorang sahaja tidak dibenarkan pulang,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau juga mendakwa, setiap ahli PKM yang pulang ke Malaysia berhak mendapat bantuan RM50,000 dan elaun bulanan serta tanah untuk bercucuk tanam.

''Apa sudah jadi dengan bantuan kewangan yang dijanjikan? Saya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan meminta mereka menyiasat perkara ini,'' katanya.

Selain itu katanya, sebagai peguam Chin Peng, beliau telah membuat permohonan di mahkamah di sini untuk membenarkan Chin Peng pulang tiga tahun lalu namun permohonan itu ditolak.

''Semua adik-beradik dan anak-anak Chin Peng ada di Malaysia,'' katanya.

Mengenai kekejaman PKM pada masa lalu beliau berkata; ''kalau PKM dituduh bunuh banyak orang, Britain lagi banyak bunuh orang apa lagi Jepun.''

Tiada ulasan: