27 November 2008

TWILIGHT


MALAM tadi aku dan ciksu menonton TWILIGHT di Cineleisure. Kisah vampire insaf dan gadis kota yang telah kembali ke kampung halamannya lalu ditakdirkan mereka saling jatuh cinta. Mengesankan sekali pembawaan watak keduanya.
Memang, efek yang ditampilkan sangat mempesona. Dengan kerlipan berlian ditubuh Edward bila di suluh suria, dan babak merangkak di batang-batang pokok fir lalu terbang melintasi canyon Hoak laksana kisah Crounching Tiger Hidden Dragon ketika Zhang Zi Yi berlawan pedang dengan Chow Yuen Fatt.
Tetapi yang lebih menyentap nurani ketika Bella berkata kepada Edward, dia sanggup mati untuk sama-sama jadi Pontianak-lalu dengan cara itu mereka boleh immortal bersama-sama. Dan kemudiannya lafaz itu disambut Edward simata oren dengan menyatakan, tidak perlu obses dengan kehendak naluri, sebaliknya yang lebih aula adalah cinta dihati yang perlu dipupuk dan kemudiannya melalui hari tua bersama-sama. Itu sesungguhnya lebih bermakna.
Pastinya, bukan subjek pernyataan teks filem yang perlu diperkatakan. Kerana penulis skrip dan lakon layarnya berdiri di atas jalur pemahaman dan kepercayaan mereka. Sebaliknya sub teks yang lebih mendalam amat wajar menjadi perhatian.
Buat apa mengikut kata hati, kalau kelak hasilnya merana. Ikutlah jalur hidup yang sepatutnya, kerana masa depan sebenarnya lebih indah kalau direncana dengan teliti. Seadanya kita sebagai manusia mampu merencana. Kerana Tuhan lebih mengerti maksud dan tujuan kehidupan ini diciptakan.

TIDUR TERAPI PALING TERBAIK

KELETIHAN sering jadi alasan untuk tidur, menjadi malas, baran, sentap, sensitif tak bertempat, mengantuk yang keterlalulan, gagal berfifitr dengan pantas dan tuntas serta semua cetusan gejala negatif lain. Tapi bagi aku, setelah sedar aku letih dan mula mengaum kerana segala gejala jahat itu, maka layanlah LETIH itu dengan terapi terbaik iaitu TIDUUUUUUUR...semoga jiwa, minda, fizikal dan rohani akan SEGAR sesudah tiga hari mendepani fatrah itu....

BETTER LATE THAN NEVER

25 November 2008

ADA APA DENGAN ISA?

Realiti di Sebalik Dinding Kebal Kamunting.

Isu ISA dan penahanan tanpa bicara bergema lagi. Kali ini yang menariknya tentangan di kalangan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan anggota Barisan Nasional (BN).
Jika 10 tahun lalu ramai aktivis reformis, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti pembangkang mengecam tindakan ISA dikenakan terhadap penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sehingga membawa usaha pihak tertentu mendesak kerajaan supaya akta itu dibubarkan namun, sedikitpun tidak terbekas di sanubari kalangan pemimpin UMNO/ BN.
Namun pada 12 September apabila Tan Hoon Cheng ( wartawan Sin Chew Daily) ditahan kerana laporannya berkenaan kenyataan berbau perkauman oleh Datuk Ahmad Ismail (Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera); isu tulisan jawi/azan Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) dan Raja Petra (Blogger Malaysia Today) yang dikatakan menghina Islam, pembesar negara mula berani bersuara!
Hakikatnya, kisah wartawan ditahan ISA bukan cerita baru. Cuma nasib yang menimpa Tan Hoon Cheng dijadikan sebagai `kambing hitam’ kepada kerajaan. Datuk Zaid Ibrahim dan Pemangku Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon; Presiden NUJ (Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia), Norila Mohd Daud sependapat penahanan tiga individu ini tidak selayaknya digunakan ISA!
Malangnya, Zaid dan Norila bercakap mengenai tiga individu itu sahaja tetapi tidak kedengaran lontaran pendapat dalam usaha untuk membebaskan tahanan lain yang kini merengkuk dalam Kem Kamunting atau MANSUHKAN ISA!
Melainkan agak berani Koh Tsu Koon, apabila menggesa kerajaan meminda atau menghapuskan ISA! Apa yang pasti Zaid, Koh dan Norila tidak bersetuju dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamid Albar terhadap tiga individu terbabit. Berbaloikah Zaid Ibrahim yang juga pengamal udang-undang, meletakkan jawatan sedangkan ISA masih mendahului undang-undang sedia ada di negara ini?
Apa perlunya Norila yang masih bertugas di Utusan Melayu itu untuk melaporkan kepada Persekutuan Wartawan Antarabangsa yang berpengkalan di Brussel, Belgium berhubung penahan Tan Hoon Cheng, sedangkan akhbarnya pula melaporkan ISA Masih Relevan! Malah dari segi sejarah kewartawanan beberapa wartawan juga telah ditahan ISA kerana melaporkan peristiwa yang benar tetapi tidak diakui benar oleh kerajaan. NUJ tidak berbuat apa pun kerana ISA bidang kuasa Menteri!
Ironinya, Akta ini juga pernah dikritik oleh beberapa ahli politik gabungan Barisan Nasional, termasuk parti komponen terbesarnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Membuktikan bahawa sejarah tidak pernah berbohong, Perdana Menteri Malaysia kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pernah menyatakan pada tahun 1988.
“Jika kita semua hendak menyelamatkan Malaysia dan UMNO, Dr Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) mesti diguling. Dia menggunakan undang-undang kejam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk mendiamkan pengkritiknya.”
Tahun sebelumnya, beliau juga telah menyatakan, “Undang-undang seperti ISA tidak punyai tempat di Malaysia moden. Ia merupakan perundangan tidak berperikemanusiaan dan jahat.”
Sebaliknya, pada tahun 2003 apabila menjadi Perdana Menteri pula, beliau mengatakan bahawa ISA adalah ‘undang-undang yang perlu,’ dan mengemukakan argumentasi “Kami tidak pernah menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Kesemua mereka yang ditahan dibawahnya terbukti mengancam masyarakat secara umum.”
Dari luar negara juga ISA turut menerima kecaman yang sama. Kerajaan Amerika Syarikat pernah mengritik kerajaan Malaysia kerana menggunakan ISA beberapa kali, paling terkini pada tahun 2001 apabila Presiden George W. Bush mengatakan bahawa “Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah undang-undang jahat.”

“ISA WAJAR DIKEKAL NAMUN PERLU DIBAIK PULIH”-IBRAHIM ALI

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan secara konsisten terhadap mereka yang mengritik kerajaan dan mempertahankan hak asasi manusia. Dikenali sebagai ‘keganasan putih’ (white terror), ia amat ditakuti dan dibenci, meskipun menjadi satu alat mudah untuk negara membasmi sebarang penentangan dan debat terbuka. Akta ini merupakan satu alatan yang dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam.
Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.
Semenjak tahun 1960 apabila Akta ini dikuatkuasakan, beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa dahulunya telah ditahan untuk lebih daripada sedekad. Antara personaliti berpengaruh yang pernah ditahan ISA adalah tokoh wartawan A.Samad Ismail, tokoh pejuang kemerdekaan; Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Dr. Syed Husin Ali dan penulis terkenal; Said Zahari.
Meskipun kedapatan pihak yang beria ia benar menentang. Namun tidak kurang yang mempertahankan ISA atas alasan yang tersendiri.
Ahli Parlimen Pasir Mas yang mewakili Parti Bebas, Datuk Haji Ibrahim Ali mempunyai pandangan yang tersendiri. Menurut beliau ISA wajar dikekalkan namun perlu diperbaiki.
Ibrahim mempertahankan ISA kerana ia dikatakan berkesan membendung keganasan dan konflik kaum selain mengatasi ancaman dadah.Pun demikian, beliau mengakui ISA sudah menjadi satu undang-undang yang terlalu kontroversi kerana ia sudah dijadikan isu politik.
“Kalau dilihat pada tahap sekarang nampaknya tiada siapa setuju ISA di dalam bentuk sekarang.Cuma ada dua pemikiran, 1: mahu ISA dihapuskan terus. 2: mahu ISA dikekalkan tetapi dipinda, diubahsuai dan tambah baik. Saya memilih yang kedua, iaitu dikekalkan namun diubahsuai mengikut kehendak dan perkembangan semasa serta ditambah baik nilai. Perkara ini telah saya nyatakan sewaktu berucap di Parlimen,”
“Penentangan terhadap ISA dan hasrat mereka agar Akta ini dihapus secara total adalah hujah parti pembangkang. Itu kehendak mereka dan saya tidak terkejut kalau parti pembangkang bertujuan membongkar insiden di dalam ISA untuk menunjuk kezaliman kerajaan Barisan Nasional, bahkan kisah ISA ini tidak sah kalau tidak dijadikan sebagai modal parti pembangkang bertujuan untuk membantai parti kerajaan,”
Ironinya, beliau tidak ambil serius terhadap kritikan tersebut. Malah ujarnya cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan ISA tidak lebih daripada cakap politik kerana Anwar Ibrahim pernah ada di dalam kerajaan sebagai TPM dan Menteri Kewangan dan satu ketika dahulu.
“ ISA telah digunakan melalui ‘operasi lalang’ tahun 1987. 102 orang ditahan termasuk saya, tapi pada waktu itu saya tiada sepatah pun keluar daripada mulut Anwar mengatakan ISA itu zalim dan patut dihapuskan. Kenapa dia tidak bela orang yang ditahan ISA pada waktu itu. Kenapa? Sebab dia adalah TPM,”
“Kini apabila beliau telah dibuang dari UMNO dan duduk di dalam pembangkang, beliau pula bercakap ‘nak hapuskan ISA. Jadi saya tengok khusus di dalam bab ini, Anwar mengamalkan double standard. Tidak konsisten dan tidak ikhlas. Kalau dia ikhlas daripada awal dia menentang ISA. Sepatutnya dia terus menerus dia menentang.”
“Berbeza dengan saya, baik sewaktu di dalam kerajaan dulu mahupun selepas keluar kerajaan saya tetap konsisten terhadap isu ISA. Saya mahu ISA dikekalkan tetapi dipinda supaya ia tidak disalahgunakan.”
Menjelaskan lebih lanjut tentang butiran penambah baikan yang wajar diberikan terhadap ISA, Ibrahim mencadangkan supaya tempoh penyiasatan terhadap tahanan ISA dibuat dalam masa 14 hari. Selepas tempoh tersebut, tahanan hendaklah dibawa ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.
“Saya juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkanJawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Polis Negara dan dianggotai oleh Peguam Negara serta ahli-ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi tujuan penambahbaikan Akta ISA. Ini kerana ISA ini tujuannya pencegahan, justeru, seandainya kita dapati apabila seseorang itu ada berniat untuk melakukan huru-hara, maka sebelum huru-hara itu berlaku, maka diambil tindakan melalui pencegahan menggunakan ISA.
Dalam pada itu Ibrahim juga mencadangkan supaya ISA turut dikenakan bukan sahaja mereka yang menyebarkan maklumat palsu atau apa juga tindakan yang boleh menggugat ketenteraman negara, bahkan kepada pihak-pihak yang melakukan economic sabotage. Ujarnya, Economic sabotage ini adalah suatu perkara yang juga boleh menggugat keselamatan negara.
“Katakan pihak berkuasa hendak menangkap seorang ketua pengedar dadah tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak ada bukti. Akan tetapi polis tahu bahawa dia ketua pengedar dadah,maka ISA digunakan. Dalam konteks economic sabotage, banyak kes rasuah yang kita dengar, tetapi kita kata tidak ada bukti. Memang sekarang ini rasuah mengikut undang-undang,”
“Rasuah cara bermoral, atas kertas semua lulus, tetapi sebenarnya diatur begitu rupa sehingga terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Apakah orang seumpama ini tidak patutditahan di bawah ISA? Selama 14 hari, kurung masuk dalam lokap, Masuk dalam lokap dua minggu. Seminggu sahaja jentik telinga, jentik hidung, tarik bulu hidung. Dia akan cerita berapa banyak duit dia sudah kebas. Kita minta balik, serah balik, kita simpan dua hari cukup. Tahan lama-lama pun buat apa. Cuma maksud saya, itu cara yang paling baik untuk mendapatkan kembali wang yang dilarikan kononnya oleh pihak-pihak tertentu. Jadi apakah tidak sesuai undang-undang ISA digunakan untuk tujuan ini? Saya percaya majoriti rakyat akan menyokong usul ini,” tegas beliau.

“MANSUHKAN ISA!!!”
Akta Tidak Relevan Dengan Hak Asasi Manusia”- SAARI SUNGIB

Beberapa parti politik pembangkang termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyatakan bantahan mereka terhadap ISA. Ramai diantara pemimpin dan ahli terkenal mereka yang telah ditahan di bawah ISA termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng dari DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR.
Dalam pada pemerintah konsisten menggunakan ISA, salah seorang bekas tahanannya, Hj. Saari Sungib juga konsisten menunjukkan tentangannya. Kali pertama Saari ditahan di bawah ISA ialah selama 60 hari pada era reformasidan kali kedua pada 10 April 2001selama dua tahun menjelangnya hari yang dikenal sebagai Black 14 bagi pejuang-pejuang keadilan.
Dari raut wajahnya yang tegas itu terpancar kesediaan beliau untuk berkongsi sejalur cerita pahit namun nyata terpasak keyakinan bahawasanya ISA wajib dimansuhkan. Beliau mendefinisikan ISA sebagai zalim kerana Akta itu mempraktikkan kekasaran fizikal dalam tempoh soal siasat kepada satu definisi baru.
“Definisi ini perlu dilihat dari segi hak asasi manusia. Kekasaran fizikal tidak boleh lagi hanya diertikan sebagai dipukul, ditendang, disepak, diterajang, ditumbuk, dibelasah, diseksa, dilebam mata macam Anwar dan sebagainya semasa soal siasat,” ujarnya memulakan bicara.
Saari atau popular sebagai “Abu Urwah” adalah presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang pertama iaitu dari tahun 1990 hingga 1999 berkata, tahanan ISA juga tidak diberikan selipar, selimut, tilam bantal, dipakaikan cermin mata gelap ketika keluar masuk sel, dibiarkan berjalan dalam hujan lebat atau di atas jalan waktu panas terik matahari.
“Penderaan mental, soal siasat terus menerus sehingga waktu malam, mengejutkan tahanan pukul 3.30 pagi, dibiarkan digigit nyamuk, mengisi sel dengan asap rokok dan menafikan hak mengetahui masa. Sesungguhnya semua ini adalah penderaan fizikal juga mental,” ujar beliau yang kini memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun PAS) Kawasan Hulu Kelang, Selangor.
Saari juga percaya ramai lagi aktivis yang telah melalui penderitaan dan trauma yang lebih teruk dan dahsyat di bawah ISA berbanding dengan dirinya, namun sampai hari ini masih ramai yang belum bersedia untuk berkongsi penderitaan dan kesengsaran tersebut secara terbuka.
“Di atas dorongan isteri, anak-anak dan rakan-rakan setia, saya mengambil inisiatif untuk menulis lalu lahirlah tujuh buah buku di dalam siri Suara Dari Kamunting. Saya turut menyampaikan suara hati di dalam Harakahdaily saban minggu sepanjang setahun tentang liku-liku tarbiyyah dari penjara,”
Bagi bapa tujuh anak ini, perjuangannya menyampaikan rasa hati menerusi pengalaman yang pernah ditempuhinya kerana ISA adalah satu jihad.
“ISA adalah zalim kerana menahan dan memenjarakan aktivis tanpa bicara, merampas hak kebebasan aktivis, mencabul hak asasi manusia seorang aktivis, menafikan hak aktivis membela diri di mahkamah terbuka, menzalimi isteri, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan aktivis, memaksa aktivis untuk akur hidup dalam penjara walaupun tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan, melanggar prinsip bahawa aktivis tidak bersalah sehingga dibuktikan ia bersalah di mahkamah terbuka dan memenjarakan aktivis dengan niat jahat (mala fide) mereka-reka alasan penahanan,”
“Jika aktivis tidak sedikit disentuh sekali pun oleh SB semasa tahanan 60 hari atau telah dilayan dengan baik sepanjang ditahan di Kem Kamunting, ISA tetap zalim kerana ia mencabul prinsip-prinsip hak asasi manusia.
Bagaimana ISA menzalimi mangsa? Saari sekali lagi dengan tegasnya mengulang kenyataan, ISA berselindung di sebalik undang-undang.
“Ini dilakukan dengan menahan aktivis selama 60 hari untuk disoal-siasat oleh SB tanpa diberi ruang untuk berhubung dengan peguam atau anggota keluarga. Tindakan memenjarakan aktivis selama 2, 4, 6, 8, 10, 12 tahun atau lebih di Kem Kamunting di atas kuasa Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Tindakan pertama dilakukan di bawah Seksyen 73, ISA dan tindakan kedua diambil di bawah Seksyen 8, ISA.
Menjelaskan lebih lanjut apakah yang berlaku semasa tahanan aktivis ditahan selama 60 hari, Saari berkata aktivis akan berdepan dengan sebahagian, kesemua atau lebih daripada perkara-perkara seperti aktivis dibawa ke lokasi rahsia, aktivis dikurung di sebuah sel yang sunyi, kotor lagi menakutkan selain akan terpaksa berdepan dengan polis Cawangan Khas (SB) yang ganas dan buas!
“Tahanan akan disoal-siasat berjam-jam , dihalang tidur, rehat dan melakukan ibadah-ibadah tambahan, dibogelkan, dipaksa melakonkan adegan seks, dipaksa berjalan itik, lompat katak atau berenang di atas lantai yang kering!
“Mereka diludah muka, dipaksa telan air ludah SB atau menghirup air yang dicurahkan di atas lantai, dipukul, diterajang, dibelasah dan diseksa dengan dicucuh badan dengan puntong rokok dan lain-lain. Tahanan turut diliwat dengan sejenis objek atau alat, diancam untuk diliwat oleh SB dipaksa membuat pengakuan dan kerjasama serta menandatangani beberapa dokumen palsu!
Bercerita lebih lanjut tentang realiti yang terpaksa didepani oleh tahanan semasa ditahan di sebalik dinding kebal Kem Tahanan Kamunting, beliau berkata, “ Selain daripada tahanan dipenjara tanpa bicara, mereka turut dituduh dengan tuduhan yang direka-reka, dipaksa hidup seperti orang salah, dipaksa patuh dengan peraturan penjara, dirampas hak untuk membela diri, dikurung sekali lagi bersendirian dalam sel sunyi, dipaksa menjalani program pemulihan aktivis didesak untuk mengaku menyesal, sedar kesalahan yang 'dilakukan' dan insaf serta tidak mahu mengulangi 'kesilapan' silam!
“ Tahanan turut ditekan agar tunduk kepada kehendak Putrajaya dan Bukit Aman, didesak agar tidak akan aktif dalam politik atau aktivisme sosial tetapi sebaliknya menumpu dalam membangunkan kerjaya dan keluarga semata-mata! Tahanan turut didesak untuk tidak menentang Umno-BN, dipujuk untuk menyokong Umno-BN seterusnya dipujuk dan didesak untuk menjadi ahli Umno.”
Saari turut memberitahu suatu hakikat yang amat jelik yang masih berleluasa selepas tahanan dibebaskan daripada ISA. Jelasnya, para bekas tahanan dipaksa 'bekerjasama' dan membuat pengakuan di hadapan SB semasa soal-siasat 60 hari, berkelakuan baik dan mematuhi semua peraturan semasa di Kem Kamunting patuh kepada arahan dan mengikuti semua program pemulihan, patuh kepada nasihat dan percaya sepenuhnya dengan apa yang diberitahu serta janji-janji.
SB yang datang setiap tiga bulan menemui aktivis di Kem Kamunting membuat rayuan dan mengaku sudah insaf kepada Lembaga Penasihat semasa berada di Kem Kamunting bagi tujuan agar dibebaskan tunduk dan melutut kepada kehendak Putrajaya dan Bukit Aman.
Saari tidak pernah betah duduk diam selepas ‘dilepaskan’. Justeru, beliau turut menyeru bekas tahanan dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk turut membantu Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggerak dan menjayakan kempen di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Antara program yang telah, sedang dan akan terus dilakukan oleh GMI ialah menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), mengeluarkan kenyataan akhbar, menulis dan menerbitkan buku, menulis dan menyiarkan rencana di dalam media alternatif, menggalakkan isteri dan anak-anak untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan berganding tenaga bersama-sama GMI, menggalakkan isteri ditemubual oleh media antarabangsa dan media alternatif tempatan , menggalakkan isteri dan anak-anak untuk bertemu atau 'ambush' Perdana Menteri dan menteri-menteri tertentu, melancarkan mogok lapar, memberi sokongan untuk isteri, anak-anak dan rakan-rakan serta melancarkan mogok lapar serentak di luar.
Sebagai salah seorang tonggak utama GMI, Saari menitipkan pesanan kepada para aktivis yang berjuang, “ISA bukan untuk keselamatan negara sebaliknya digunakan hanya bagi melindungi kuasa politik Umno-BN, ISA adalah senjata politik Umno-BN untuk menumpaskan lawan politik mereka. Justeru, satu-satunya cara untuk berdepan dengan ISA adalah lawan secara politik. Jangan takut kerana takut itulah yang mereka mahukan daripada rakyat!” hujjahnya mengakhiri perbualan.

BENARKAH ISLAM HADHARI RESTUI ISA?

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi Abdullah ketika ditanya wartawan mengenai ISA sewaktu sidang media selepas Persidangan Agung Umno tahun lalu menyatakan undang-undang ISA adalah selaras dengan konsep Islam Hadhari.
Katanya lagi, penahanan tanpa bicara mempunyai sebab dan tangkapan dibuat berdasarkan bukti serta terdapat tahanan yang dibebaskan selepas 'kita sudah jadikan mereka orang baik'.
Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri menyatakan, walaupun mereka tidak didakwa, terdapat isu keselamatan yang diketahui pihak berkuasa, tetapi tidak boleh dibincang dan diadili di mahkamah.
Kenyataan itu disanggah bekas tahanan ISA, Hj. Saari Sungib. Ujarnya, Abdullah gagal memahami konsep yang diperkenalkannya kerana Islam Hadhari menggalakkan amalan keadilan dan kesaksamaan, tetapi tindakan Abdullah adalah bertentangan dengan konsep tersebut.
“Dilihat pada sudut keadilan ini kita lihat Abdullah sendiri tidak memahami konsep Islam Hadhari ini. Untuk menunjukkan keadilan, seseorang itu diadili di mahkamah terbuka, dituduh mesti diberi peluang menjawab tuduhan,”
“Dalam kes ISA ini, bagaimana wujud keadilan kerana yang dituduh tidak diberi peluang perbicaraan. Jadi kenyataannya itu tidak benar dan beliau tidak berlaku adil dan sudah pasti tidak selaras dengan hadhari yang diperkenalkannya itu,” katanya.
Saari menegaskan, mahkamahlah yang akan membuktikan sama ada tuduhan tersebut sahih atau direka. “Kita tidak pernah lihat dalam kes ISA seperti tuduhan dalam kes reformasi yang menyatakan mereka yang dituduh ada menyimpan bom dan bahan letupan lain,”
"Jadi apabila mereka dibebas tidak pernah dibuktikan bahawa apa-apa tuduhan ke atas mereka adalah benar. Nama mereka telah dicemari dengan bukti yang tidak benar. Ini merupakan satu kepalsuan sebab Abdullah menyatakan terdapat bukti dan 'mereka sudah menjadi baik'. akikatnya ia tidak dibuktikan," katanya.
Katanya, tindakan Abdullah terhadap mangsa ISA itu sebenarnya untuk mengurangkan tekanan dari pihak luar. Apabila tekanan tersebut berkurangan, barulah mangsa ISA ini dibebaskan.
Katanya, kerajaan mengambil kesempatan menggunakan undang-undang ini kerana mempunyai kepentingan politik.
"Pihak luar seperti Amerika Syarikat menekan negara mengatakan terdapat pengganas di negara ini. Jadi untuk mengurangkan tekanan, mereka yang tidak dibuktikan bersalah ini ditangkap.
"Setelah mereka ditangkap, bagaimana nasib keluarga mereka? Kita tidak dengar pun yang kerajaan membantu mereka. Jadi ISA ini merupakan satu polisi dan dasar yang tidak selaras dengan Islam," kata beliau.
Katanya lagi, kezaliman kerajaan tidak menggambarkan kerajaan bersifat telus dan adil dalam menjaga keselamatan rakyat. "Sepatutnya keselamatan rakyat menjamin keselamatan negara dan keselamatan negara menjamin keselamatan rakyat Tetapi wujudnya ISA langsung tidak menjamin keselamatan rakyat," katanya.
Saari bertanggapan kenyataan Abdullah itu merupakan kata-kata 'orang yang mempunyai kuasa'. “Dia ada kuasa dia boleh cakap macam tu. Tetapi sewaktu saya, Mohamed Ezam dan Dr Badrul Amin Bahron ditahan, dia yang menandatangani penahanan kami itu. Selepas saya dibebaskan pada 6 September 2002, Mahkamah Persekutaan memutuskan penahanan kami tidak sah, berniat jahat dan bermotif politik. Jadi apa maksud di sebalik kata-katanya itu?”
“Jika Islam Hadhari itu adil, 60 hari selepas penahan dan selepas mempunyai cukup bukti, bebaskan kami. Tetapi apabila tidak sah siasatan 60 hari, Abdullah telah ditipu Polis Cawangan Khas (SB) disebabkan bukti yang pincang,” kata Saari.
Jelas Saari walaupun beliau telah menemui Lembaga Penasihat sebanyak dua kali, pada 2002 Lembaga Penasihat mengesyorkan beliau dan dua lagi rakannya dibebaskan, kerajaan tetap tidak berbuat demikian. “Laporan siasatan terhadap tahanan reformasi telah diserahkan kepada hakim mahkamah sivil sewaktu kes saman kami kepada kerajaan,”
“Tuduhan ke atas kami untuk mengguling kerajaan dengan mengumpul bahan letupan seperti 'Molotov cocktail'. Sepatutnya siasatan itu mestilah dari awal hingga akhir," katanya. Jelasnya Abdullah seharusnya mengetahui peruntukan Seksyen 8 adalah di bawah kuasa menteri, seksyen 73 di bawah kuasa SB, serta seksyen 16 berkaitan pendedahan maklumat.
Kata Saari lagi, hakim sewaktu itu, Tun Ahmad Zaidin Abdullah mengatakan bahawa Seksyen 16 hanya berkuat kuasa dan tertakluk pada Seksyen 8 bukan Seksyen 73. “Tapi Abdullah mengatakan berpuas hati berdasarkan Seksyen 73 dan dia hanya bergantung kepada SB. Jadi, SB yang sudah bermaharajalela,” dakwanya.

KEABSAHAN ISA DI MALAYSIA

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia. Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.
Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu Akta bagi tujuan melawan anasir anti nasional dan subversif. Akta ISA itu diperbuat di bawah bidang kuasa Perkara 149 Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan Malaysia 1957 di bawah Perkara 149 menyebut Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.
(1) Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan”

(a) untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau
(b) untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau
(c) untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau
(d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau
(e) yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau
(f) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya,

Maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk memberhentikan atau mencegah tindakan itu adalah sah walaupun peruntukan itu tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13, atau walaupun, jika tidak kerana Perkara ini, peruntukan itu akan terkeluar daripada kuasa perundangan Parlimen; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi Rang Undang-Undang untuk sesuatu Akta yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.
(2) Sesuatu undang-undang yang mengandungi sebutan seperti yang disebut dalam Fasal (1), jika tidak terlebih dahulu dimansuhkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen yang mengungkai undang-undang itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelum itu menurut kuasa undang-undang itu atau tanpa menjejaskan kuasa Parlimen untuk membuat suatu undang-undang baru di bawah Perkara ini.

KOPITIAM VS STARBUCK


Antara prestij, taksub jenama dan nilai tempatan.

Satu terma yang kerap menjadi basahan orang-orang Malaysia ialah ‘cakap kedai kopi’ iaitu merujuk kepada gosip yang diperkatakan di kedai kopi. Kerana di kedai kopilah semua golongan dapat bertemu mata dan bertukar cerita sambil memberikan ‘analisis’ spontan; baik isu politik yang sedang hangat, kisah dalam kain personaliti hiburan yang sedang ‘meletup’, ‘respon’ terhadap isu global tanpa perlu penghuraian spesifik atau terlalu ilmiah kerana yang penting, sambil bersidai di kedai kopi dapat menjamu selera dengan sajian tradisional, dapat pula mengeratkan silaturrahim.
Kalau kedai kopi lebih sinonim untuk merujuk kepada industri kecil dan sederhana yang diterajui oleh orang Melayu, kopitiam pula lebih dekat dengan kaum Tionghua. Namun, asimilasi kaum yang telah menghilangkan garis pemisah perkauman di negara ini telah memungkinkan terma kopitiam atau kedai kopi hanya sekadar istilah, sebaliknya antara keduanya saling melengkapi.
Kopitiam atau kopi tiam adalah kedai
kopi dan sarapan tradisional yang terdapat di Malaysia dan Singapura. Perkataan ‘kopitiam’ merupakan gabungan perkataan ‘kopi’ dari bahasa Melayu dengan perkataan bahasa Hokkien bagi kedai.
Dalam erti kata lain, kopitiam bermaksud kedai kopi yang berkonsepkan tradisional Cina sudah lama diusahakan di Malaysia. Sajian kopitiam biasanya terdiri daripada satu tawaran yang ringkas: beraneka pilihan makanan yang mengandungi
telur separuh masak, roti bakar dan kaya, serta minuman seperti kopi, teh, dan Milo.
Kopitiam boleh dijumpai di merata tempat di Malaysia. Pada zaman dahulu, kopitiam hanya terdapat di kawasan luar bandar. Lazimnya, ia begitu popular di kalangan warga emas yang sering bersarapan dan menghabiskan masa santai mereka sambil membincangkan isu-isu semasa.
Kebelakangan ini munculnya sejenis ‘kopitiam baharu’. Berkonsepkan kafe moden, kopitiam yang terdapat di bandar-bandar menjadi tempat kepada warga kota menghabiskan masa senggang mereka.
Kelarisan kopitiam bergaya lama serta minat masyarakat terhadap tema nostalgia serta kenaikan dalam pendapatan telah mencetuskan kebangkitan jenis pseudo-kopitiam ini. ‘Kopitiam baharu’ ini merupakan kedai
makanan segera yang bukan sahaja menampilkan gaya kopitiam lama dari segi dekor dalamanya, bahkan menggunakan perkakas hidangan seperti pinggan, cawan-piring, sudu garfu yang klasik dan membangkitkan nostalgia, tetapi lazimnya dibina dalam latar yang lebih moden serta bersih seperti pusat beli-belah dan lot-lot tepi rumah kedai.
Trend kopitiam baharu juga dicetuskan setelah terhasilnya fenomena ‘budaya kopi’ oleh rangkaian kedai kopi seperti Starbucks dan The Coffee Bean & Tea Leaf. Kopitiam ini menawarkan alternatif yang lebih mudah didapati iaitu budaya kopi boleh dinikmati dengan perisa tempatan dan harga yang lebih berpatutan.
Bagi menawarkan pengalaman kopitiam sejati, kopitiam baharu ini kebanyakannya menawarkan perisa kopi tempatan yang tulen, roti bakar kayu arang yang disajikan bersama mentega dan kaya serta telur separuh masak. Ada yang menawarkan lebih kepelbagaian makanan yang mana sajian khas sarapan, makan tengahari dan makan malam disediakan. Sehingga hari ini, terdapat tidak kurang daripada 100 jenama kopitiam baharu yang beroperasi di merata negara.

Sementara itu kafe beraroma barat, Starbucks turut menawarkan pilihan sajian baru kepada rakyat tempatan. Starbucks yang ditubuhkan pada tahun
1971 sebagai peruncit benih kopi, kemudian diambil alih pada tahun 1987 oleh Howard Schultz, telah memperoleh dan membina kedai kopi di seluruh dunia. Selain minuman yang dibuat secara bancuh dan espresso, kedai-kedai Starbucks juga menyajikan teh dan minuman dalam botol pastri dan sandwic sedia untuk dimakan.
Pada masa sekarang, Starbucks telah membuka sebanyak 6,000 cawangan di 30 buah negara seluruh dunia, termasuklah 63 cawangan di
Malaysia. Kedai-kedai Starbucks menyajikan beraneka pilihan kopi yang berubah-ubah setiap minggu agar dapat menyediakan cara yang mudah bagi pelanggannya untuk mencuba pelbagai perisa kopi.
Turut dihidangkan adalah berbagai-bagai jenis minuman panas lain, yang bercirikan
espresso (seperti latte dan cappuccino) dan bukan espresso (seperti minuman coklat panas, tuak epal didih, dan ‘crème’, istilah yang digunakan Starbucks bagi susu didih yang dicampurkan dengan pelbagai perisa sirap).
Di Malaysia, Berjaya Coffee Company (M) Sdn Bhd, anak syarikat Berjaya Group Berhad diberi hak eksklusif pada bulan Mei 1998 untuk mengembangkan seterusnya menguruskan kedai-kedai Starbucks. Starbucks pertama kalinya dibuka di Malaysia di KL Plaza, Kuala Lumpur, pada 17 Disember 1998.
Dalam jangka masa dua tahun kemudiannya sejumlah 17 buah lokasi Starbucks baru dibuka termasuklah lokasi pertama di Johor dan Pulau Pinang. Pada bulan Julai 2004 Berjaya Coffee Company (M) Sdn Bhd diubah nama kepada Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd. Pada waktu ini lokasi Starbucks ke-50 juga dibuka.
Melepak di kafe Starbucks, ada prestijnya. Berbeza dengan kopitiam yang berlokasikan kawasan-kawasan kediaman, Starbucks pula memilih lokasi bisnes di pusat beli belah terkemuka. Justeru, tidak ramai yang punya kesempatan untuk melayan selera di kafe ini, selain menjadi pilihan golongan tertentu, harganya juga turut menjadi perhatian.
Ditinjau daripada pandangan kasar, tiada yang membezakan antara kopitiam dan Starbucks kerana keduanya adalah ‘tempat makan’.
Namun, lebih jauh lagi sebenarnya wujud persoalan lain. Suara Baru mengupas isu ini dengan melihat daripada sudut prestij, permulaan baru era ‘taksub jenama’ yang melanda rakyat Malaysia dan dalam masa yang sama masih wujudkah nilai jati diri anak bangsa terhadap produk tempatan.

Glosari:
Pseudo-kopitiam: penjelmaan ala kopitiam

LUAH DI TEMPAT YANG BETUL

Grafiti Bukan Vandalisme Politik tetapi Merayakan Kebebasan

JANAAN kreativiti pengkarya grafiti di sekitar bandaraya Kuala Lumpur jelas terpapar ketika melintasi beberapa lokasi utama seperti tebing sungai berdekatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, sekitar bangunan Pasar Seni, antara laluan hentian Bas Kelang dan beberapa lokasi di Bangsar. Seni grafiti juga dilihat menghiasi dinding bangunan Majlis Peguam Malaysia, Leboh Pasar Besar Kuala Lumpur.
Antara keunikan dan keistimewaan teknik ini ialah lukisan yang terhasil akan memaparkan mesej yang jelas sebagaimana dihasratkan oleh pelukis. Banyak premis hiburan berminat mencorakkan dinding di dalam atau luar kedai mereka dengan grafiti. Teknik ini sering digunakan untuk hiasan lanskap di kawasan yang terpilih.
Berdasarkan gabungan warna dan corak yang dipersembahkan, karya grafiti memiliki mesej tersendiri dan mudah difahami oleh mereka yang menatapnya. Teknik grafiti ini juga adalah sebahagian daripada teknik semburan berus angin yang ketika ini populardi kalangan anak muda dengan kebanyakan mereka gemar menggayakannya pada topi keledar dan badan kereta dengan pelbagai corak.
Dalam pada itu banyak juga lokasi di sekitar ibu kota yang menjadi sasaran ‘tangan kreatif’ tidak bertempat. Dan dari sisi nilai setempat menganggap visual tersebut sebagai satu ciri vandalisme memandangkan contengannya dicorak membuta tuli di tempat awam. Mainan warnanya kasar dan sudah pasti diiringi dengan kata-kata yang agak ‘kasar’.
Justeru banyak benar bezanya antara seni grafiti yang ‘halal’ dan grafiti contengan ‘vandalisme’. Namun kedua-duanya bertemu titik persamaan pada prinsip ‘kebebasan meluahkan idea, kreativiti dan perasaan.’ Hal ini diakui oleh seorang non governmental individual (NGI), Hishamuddin Rais.
Menurut beliau, asal namanya seni tidak kira di atas premis apa sekalipun maka seni itu sendiri adalah untuk merayakan kehidupan.
Hishamudin mengimbas jalur sejarah kemunculan mural dan seni lukis. Jelasnya budaya grafiti lahir akibat ledakan zaman industri. “Kalau dahulu bentuk seni lukisan seperti zaman Renaissance hanya untuk gereja dan istana. Ketika itu hanya para bourgeois sahaja yang berpeluang menikmati karya Rembrandt, Picasso dan sebagainya.
“Kemudian apabila muncul zaman industri, lukisan-lukisan ini diletakkan di muzium dan masyarakat menjadi lebih demokratik. Lukisan dapat dinikmati dan dilihat di galeri-galeri,”
“Dan akhir sekali pada pasca moden muncul pelukis-pelukis yang bukan sekadar melukis untuk galeri atau gereja tetapi kembali ke asal usul lukisan-untuk merayakan kehidupan- sama seperti 2000 hingga 3000 tahun lalu di mana lukisan ditemui digua-gua batu,”
“Jadi lukisan yang dilihat di seluruh kota Kuala Lumpur adalah lukisan lukisan seni yang orang masih belum faham. Itu adalah bentuk seni dan bentuk seni baru ini ada hukum, ada syarat untuk memahaminya kerana tiap tiap perkara ini ada syarat dan metodologinya,” tambah beliau.
Tetapi benarkah contengan ini dimanifestasikan sebagai ‘vandalisme’ lantaran rata-rata luapan rasa itu menjurus ke arah pengimejan tidak berpuas hati kepada pemerintah menerusi mesej-mesej tertentu.
“Seni ini adalah untuk merayakan kehidupan. Justeru, saya tidak fikir si pelukis yang membuat grafiti di dinding seperti yang anda katakan sebagai vandalisme itu berfikir, ‘Oh saya hendak hantar mesej berbaur politik yang ‘sekian-sekian ini,”
Bagi Hishamuddin, menghantar mesej ini hanya satu obsesi di Malaysia. “Buat filem mesti ada mesej, penyanyi mesti ada mesej. Kalau nak hantar mesej, hantar sahaja menggunakan SMS, buat apa nak buat ditembok tembok,” ujarnya.
Jelasnya lagi kalau calitan warna yang membentuk perkataan ABU-Anyone But UMNO- seperti mana yang terdapat di sebuah lokasi di Bangsar sebagai political expression, Itu sejujurnya adalah luahan rasa hati si pelukis.
“Anda hanya nampak grafiti grafiti itu sahajalah. Anda tidak nampakkah satu lagi benda seiring dengan grafiti ini iaitu munculnya banyak billboard. Mungkin anda tidak nampak kerana minda anda telah terkongkong bahawa billboard ini yang halal, grafiti ini yang haram, tetapi kedua-duanya adalah art form. Bezanya, seni billboard itu dinaikkan untuk menggoda orang ramai untuk membeli sesuatu produk. Tetapi grafiti ini tidak menjual apa-apa sebaliknya untuk merayakan kehidupan.”
Grafiti beridealisme politik ujarnya, mengambil ruang-ruang di jalan raya bagi mempersembahkan seninya memandangkan kekangan yang dihadapi untuk muncul secara sah di dalam arus perdana.
Hal ini menurut Hishamuddin terjadi kerana negara ini tidak menganut kebebasan bersuara. “Dalam masyarakat transisi ini kita tidak boleh katakan kita menganuti kebebasan bersuara. Justeru masyarakat Malaysia hari ini adalah masyarakat yang belum dewasa,”
“Dek kerana tiada kebebasan media mendorong warga beralih. Dahulu kita bebas tetapi kini tidak lagi apabila UMNO datang memerintah kita. Dahulu sewaktu zaman kesultanan Melayu Melaka, anda boleh berbincang apa sahaja di kampung dan desa. Kini lain, apatah lagi dengan adanya banyak sangat akta, kini kebebasan kita diambil.”
Dalam pada itu timbul persoalan kemungkinan media ekspresi menerusi grafiti ini adalah pengaruh budaya luar.
Menjelaskan perkara ini Hishamuddin berkata, “Ini bukan pengaruh luar. Semua orang obsess dengan pengaruh luar. Apa yang penting di sini ialah bukan kita yang memulakannya. Seharusnya kita jadi pemula. Kenapa kita tidak jadi pemula? kerana kita tidak ada kebebasan. Jadi kerana itu di Eropah mereka jadi pemula, kerana mereka ada kebebasan,” ujarnya sambil menambah tiada ukuran nilai baik atau buruk pada kebebasan berekspresi menerusi grafiti atau mural kerana di dalam hidup ini tiada baik atau buruk.
“Nilai baik atau buruk ini bergantung kepada keadaan hidup ketika itu,” ujar beliau mengakhiri bicara.
Baik grafiti, mural atau contengan semuanya adalah ekspresi pelukis. Namun harus diakui grafiti penuh artistik dan seronok ditatap dengan mainan warna terkawal. Yang penting grafiti dipersembahkan secara tertib dan memenuhi piawai izin pihak berkuasa tempatan berbeza seni ‘grafiti yang di gelar freedom of expression.’ Anda tataplah sendiri.

Box:
Grafiti berasal daripada kalimah Latin iaitu Graphium yang bermaksud ‘melukis atau menulis’ kini menjadi satu lagi luahan seni kreatif anak muda. Teknik lukisan yang berasal daripada barat dan memerlukan kemahiran semburan cat itu dikenal pasti mula memasuki negara ini sejak penghujung 1990-an.

06 November 2008

reminder

KADANG KADANG peringatan dari Tuhan datang dalam pelbagai cara. Seperti yang berlaku pada aku. aku menganggapnya sebagai satu peringatan. mungkin orang lain boleh mengatakannya sebagai "Takdir sedang berbisik..atau Takdir sedang berbicara..atau apa sahaja.." mungkin juga aku yang gagal memahami..peringatan demi peringatan yang datang sebelum ini.

beberapa hari sebelum nya..aku berjaya menyelesaikan banyak benda.banyak perkara.hutang, bil tertunggak..apatah lagi bila menerima cek dari TV3 dan bayaran jadi MC, kemudian pula gaji pun masuk. Tapi satu yang aku baru teringat, aku belum masukkan duit utk ayah di kampung..(ampun ayah)...sikit hari lagi ya.

Ahad 2 November..jam 9.30pagi.sesudah menghantar Adam ke tempat kerjanya..sewaktu melalui LDP, sebelum memasuki tol Penchala ..tiba-tiba enjin WLV wiraku mati.

Aku perlahankan kereta memasuki lorong kecemasan langsung terus membelok ke hentian rehat sebelum plaza Tol. Setelah dicuba start berkali-kali, aku gagal. hipotesis awal,mungkin masalah bateri.

aku memang jahil bab kereta..selama nie tahu naik sahaja, tahu bubuh minyak bila kuning (walaupun termiss dan pernah tersadai menunggu kawan-kawan tolong beli minyak kala tangki kering), tahu bayar instalment bulanan (walaupun kerap juga bank telefon mengingatkan), dan tahu bayar road tax..semata-mata itu..

kalau bab TIMING BELT putus..sumpah aku tidak tahu..dan itulah yang berlaku pagi minggu itu!!!

Ya Allah..di tengah panas terik hari yang sudah meninggi itu..aku menanti pomen, towing trak dan Nasa (sahabat yang menetap di Pelangi Damansara) untuk datang membantu..

aduh..pening kepala sungguh saat itu..

sesudah kereta ditarik trak tunda ke bengkel..RM80 bertukar tangan.

itu baru tunda kereta..(actually bukan tunda, sbb kereta aku dinaikkan ke atas lori trak itu), sehari kemudian aku ke workshop di Kota Damansara bersama Sufian untuk mengambil kereta yang telah siap dibaiki (tukar Timing Belt, Valve dan Minyak hitam) dengan bayaran sebanyak RM550. Fuhh!!!.

Sekejap saja duit hangusssss..

aku akur, mmg lah timing belt tu patutnya dah kena tukar sebelum raya Aidilfitri yang lalu, dan telah diperingatkan oleh Wong Kheik (pomen depan apartmen kami), tapi mengenangkan masih boleh dipandu tanpa gusar, maka aku mendegilkan diri dan inilah musibahnya...kalau tukar sebelum putus, baru RM200..haa ngkau..skrang brapa kena keluar duit..sendirilah tanggung.


DIHUJUNG semuanya cerita lara ini...ada juga keindahan menanti..dan aku doakan keindahan itu..lalu aku perlu lebih berhati-hati berbicara dan perlu lebih berhati-hati mengatur langkah. Agar tidak tersandung lagi kerana Peringatan dari Tuhan sedang berlegar-legar.