25 November 2008
KOPITIAM VS STARBUCK
Antara prestij, taksub jenama dan nilai tempatan.
Satu terma yang kerap menjadi basahan orang-orang Malaysia ialah ‘cakap kedai kopi’ iaitu merujuk kepada gosip yang diperkatakan di kedai kopi. Kerana di kedai kopilah semua golongan dapat bertemu mata dan bertukar cerita sambil memberikan ‘analisis’ spontan; baik isu politik yang sedang hangat, kisah dalam kain personaliti hiburan yang sedang ‘meletup’, ‘respon’ terhadap isu global tanpa perlu penghuraian spesifik atau terlalu ilmiah kerana yang penting, sambil bersidai di kedai kopi dapat menjamu selera dengan sajian tradisional, dapat pula mengeratkan silaturrahim.
Kalau kedai kopi lebih sinonim untuk merujuk kepada industri kecil dan sederhana yang diterajui oleh orang Melayu, kopitiam pula lebih dekat dengan kaum Tionghua. Namun, asimilasi kaum yang telah menghilangkan garis pemisah perkauman di negara ini telah memungkinkan terma kopitiam atau kedai kopi hanya sekadar istilah, sebaliknya antara keduanya saling melengkapi.
Kopitiam atau kopi tiam adalah kedai kopi dan sarapan tradisional yang terdapat di Malaysia dan Singapura. Perkataan ‘kopitiam’ merupakan gabungan perkataan ‘kopi’ dari bahasa Melayu dengan perkataan bahasa Hokkien bagi kedai.
Dalam erti kata lain, kopitiam bermaksud kedai kopi yang berkonsepkan tradisional Cina sudah lama diusahakan di Malaysia. Sajian kopitiam biasanya terdiri daripada satu tawaran yang ringkas: beraneka pilihan makanan yang mengandungi telur separuh masak, roti bakar dan kaya, serta minuman seperti kopi, teh, dan Milo.
Kopitiam boleh dijumpai di merata tempat di Malaysia. Pada zaman dahulu, kopitiam hanya terdapat di kawasan luar bandar. Lazimnya, ia begitu popular di kalangan warga emas yang sering bersarapan dan menghabiskan masa santai mereka sambil membincangkan isu-isu semasa.
Kebelakangan ini munculnya sejenis ‘kopitiam baharu’. Berkonsepkan kafe moden, kopitiam yang terdapat di bandar-bandar menjadi tempat kepada warga kota menghabiskan masa senggang mereka.
Kelarisan kopitiam bergaya lama serta minat masyarakat terhadap tema nostalgia serta kenaikan dalam pendapatan telah mencetuskan kebangkitan jenis pseudo-kopitiam ini. ‘Kopitiam baharu’ ini merupakan kedai makanan segera yang bukan sahaja menampilkan gaya kopitiam lama dari segi dekor dalamanya, bahkan menggunakan perkakas hidangan seperti pinggan, cawan-piring, sudu garfu yang klasik dan membangkitkan nostalgia, tetapi lazimnya dibina dalam latar yang lebih moden serta bersih seperti pusat beli-belah dan lot-lot tepi rumah kedai.
Trend kopitiam baharu juga dicetuskan setelah terhasilnya fenomena ‘budaya kopi’ oleh rangkaian kedai kopi seperti Starbucks dan The Coffee Bean & Tea Leaf. Kopitiam ini menawarkan alternatif yang lebih mudah didapati iaitu budaya kopi boleh dinikmati dengan perisa tempatan dan harga yang lebih berpatutan.
Bagi menawarkan pengalaman kopitiam sejati, kopitiam baharu ini kebanyakannya menawarkan perisa kopi tempatan yang tulen, roti bakar kayu arang yang disajikan bersama mentega dan kaya serta telur separuh masak. Ada yang menawarkan lebih kepelbagaian makanan yang mana sajian khas sarapan, makan tengahari dan makan malam disediakan. Sehingga hari ini, terdapat tidak kurang daripada 100 jenama kopitiam baharu yang beroperasi di merata negara.
Sementara itu kafe beraroma barat, Starbucks turut menawarkan pilihan sajian baru kepada rakyat tempatan. Starbucks yang ditubuhkan pada tahun 1971 sebagai peruncit benih kopi, kemudian diambil alih pada tahun 1987 oleh Howard Schultz, telah memperoleh dan membina kedai kopi di seluruh dunia. Selain minuman yang dibuat secara bancuh dan espresso, kedai-kedai Starbucks juga menyajikan teh dan minuman dalam botol pastri dan sandwic sedia untuk dimakan.
Pada masa sekarang, Starbucks telah membuka sebanyak 6,000 cawangan di 30 buah negara seluruh dunia, termasuklah 63 cawangan di Malaysia. Kedai-kedai Starbucks menyajikan beraneka pilihan kopi yang berubah-ubah setiap minggu agar dapat menyediakan cara yang mudah bagi pelanggannya untuk mencuba pelbagai perisa kopi.
Turut dihidangkan adalah berbagai-bagai jenis minuman panas lain, yang bercirikan espresso (seperti latte dan cappuccino) dan bukan espresso (seperti minuman coklat panas, tuak epal didih, dan ‘crème’, istilah yang digunakan Starbucks bagi susu didih yang dicampurkan dengan pelbagai perisa sirap).
Di Malaysia, Berjaya Coffee Company (M) Sdn Bhd, anak syarikat Berjaya Group Berhad diberi hak eksklusif pada bulan Mei 1998 untuk mengembangkan seterusnya menguruskan kedai-kedai Starbucks. Starbucks pertama kalinya dibuka di Malaysia di KL Plaza, Kuala Lumpur, pada 17 Disember 1998.
Dalam jangka masa dua tahun kemudiannya sejumlah 17 buah lokasi Starbucks baru dibuka termasuklah lokasi pertama di Johor dan Pulau Pinang. Pada bulan Julai 2004 Berjaya Coffee Company (M) Sdn Bhd diubah nama kepada Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd. Pada waktu ini lokasi Starbucks ke-50 juga dibuka.
Melepak di kafe Starbucks, ada prestijnya. Berbeza dengan kopitiam yang berlokasikan kawasan-kawasan kediaman, Starbucks pula memilih lokasi bisnes di pusat beli belah terkemuka. Justeru, tidak ramai yang punya kesempatan untuk melayan selera di kafe ini, selain menjadi pilihan golongan tertentu, harganya juga turut menjadi perhatian.
Ditinjau daripada pandangan kasar, tiada yang membezakan antara kopitiam dan Starbucks kerana keduanya adalah ‘tempat makan’.
Namun, lebih jauh lagi sebenarnya wujud persoalan lain. Suara Baru mengupas isu ini dengan melihat daripada sudut prestij, permulaan baru era ‘taksub jenama’ yang melanda rakyat Malaysia dan dalam masa yang sama masih wujudkah nilai jati diri anak bangsa terhadap produk tempatan.
Glosari:
Pseudo-kopitiam: penjelmaan ala kopitiam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan