25 November 2008

LUAH DI TEMPAT YANG BETUL

Grafiti Bukan Vandalisme Politik tetapi Merayakan Kebebasan

JANAAN kreativiti pengkarya grafiti di sekitar bandaraya Kuala Lumpur jelas terpapar ketika melintasi beberapa lokasi utama seperti tebing sungai berdekatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, sekitar bangunan Pasar Seni, antara laluan hentian Bas Kelang dan beberapa lokasi di Bangsar. Seni grafiti juga dilihat menghiasi dinding bangunan Majlis Peguam Malaysia, Leboh Pasar Besar Kuala Lumpur.
Antara keunikan dan keistimewaan teknik ini ialah lukisan yang terhasil akan memaparkan mesej yang jelas sebagaimana dihasratkan oleh pelukis. Banyak premis hiburan berminat mencorakkan dinding di dalam atau luar kedai mereka dengan grafiti. Teknik ini sering digunakan untuk hiasan lanskap di kawasan yang terpilih.
Berdasarkan gabungan warna dan corak yang dipersembahkan, karya grafiti memiliki mesej tersendiri dan mudah difahami oleh mereka yang menatapnya. Teknik grafiti ini juga adalah sebahagian daripada teknik semburan berus angin yang ketika ini populardi kalangan anak muda dengan kebanyakan mereka gemar menggayakannya pada topi keledar dan badan kereta dengan pelbagai corak.
Dalam pada itu banyak juga lokasi di sekitar ibu kota yang menjadi sasaran ‘tangan kreatif’ tidak bertempat. Dan dari sisi nilai setempat menganggap visual tersebut sebagai satu ciri vandalisme memandangkan contengannya dicorak membuta tuli di tempat awam. Mainan warnanya kasar dan sudah pasti diiringi dengan kata-kata yang agak ‘kasar’.
Justeru banyak benar bezanya antara seni grafiti yang ‘halal’ dan grafiti contengan ‘vandalisme’. Namun kedua-duanya bertemu titik persamaan pada prinsip ‘kebebasan meluahkan idea, kreativiti dan perasaan.’ Hal ini diakui oleh seorang non governmental individual (NGI), Hishamuddin Rais.
Menurut beliau, asal namanya seni tidak kira di atas premis apa sekalipun maka seni itu sendiri adalah untuk merayakan kehidupan.
Hishamudin mengimbas jalur sejarah kemunculan mural dan seni lukis. Jelasnya budaya grafiti lahir akibat ledakan zaman industri. “Kalau dahulu bentuk seni lukisan seperti zaman Renaissance hanya untuk gereja dan istana. Ketika itu hanya para bourgeois sahaja yang berpeluang menikmati karya Rembrandt, Picasso dan sebagainya.
“Kemudian apabila muncul zaman industri, lukisan-lukisan ini diletakkan di muzium dan masyarakat menjadi lebih demokratik. Lukisan dapat dinikmati dan dilihat di galeri-galeri,”
“Dan akhir sekali pada pasca moden muncul pelukis-pelukis yang bukan sekadar melukis untuk galeri atau gereja tetapi kembali ke asal usul lukisan-untuk merayakan kehidupan- sama seperti 2000 hingga 3000 tahun lalu di mana lukisan ditemui digua-gua batu,”
“Jadi lukisan yang dilihat di seluruh kota Kuala Lumpur adalah lukisan lukisan seni yang orang masih belum faham. Itu adalah bentuk seni dan bentuk seni baru ini ada hukum, ada syarat untuk memahaminya kerana tiap tiap perkara ini ada syarat dan metodologinya,” tambah beliau.
Tetapi benarkah contengan ini dimanifestasikan sebagai ‘vandalisme’ lantaran rata-rata luapan rasa itu menjurus ke arah pengimejan tidak berpuas hati kepada pemerintah menerusi mesej-mesej tertentu.
“Seni ini adalah untuk merayakan kehidupan. Justeru, saya tidak fikir si pelukis yang membuat grafiti di dinding seperti yang anda katakan sebagai vandalisme itu berfikir, ‘Oh saya hendak hantar mesej berbaur politik yang ‘sekian-sekian ini,”
Bagi Hishamuddin, menghantar mesej ini hanya satu obsesi di Malaysia. “Buat filem mesti ada mesej, penyanyi mesti ada mesej. Kalau nak hantar mesej, hantar sahaja menggunakan SMS, buat apa nak buat ditembok tembok,” ujarnya.
Jelasnya lagi kalau calitan warna yang membentuk perkataan ABU-Anyone But UMNO- seperti mana yang terdapat di sebuah lokasi di Bangsar sebagai political expression, Itu sejujurnya adalah luahan rasa hati si pelukis.
“Anda hanya nampak grafiti grafiti itu sahajalah. Anda tidak nampakkah satu lagi benda seiring dengan grafiti ini iaitu munculnya banyak billboard. Mungkin anda tidak nampak kerana minda anda telah terkongkong bahawa billboard ini yang halal, grafiti ini yang haram, tetapi kedua-duanya adalah art form. Bezanya, seni billboard itu dinaikkan untuk menggoda orang ramai untuk membeli sesuatu produk. Tetapi grafiti ini tidak menjual apa-apa sebaliknya untuk merayakan kehidupan.”
Grafiti beridealisme politik ujarnya, mengambil ruang-ruang di jalan raya bagi mempersembahkan seninya memandangkan kekangan yang dihadapi untuk muncul secara sah di dalam arus perdana.
Hal ini menurut Hishamuddin terjadi kerana negara ini tidak menganut kebebasan bersuara. “Dalam masyarakat transisi ini kita tidak boleh katakan kita menganuti kebebasan bersuara. Justeru masyarakat Malaysia hari ini adalah masyarakat yang belum dewasa,”
“Dek kerana tiada kebebasan media mendorong warga beralih. Dahulu kita bebas tetapi kini tidak lagi apabila UMNO datang memerintah kita. Dahulu sewaktu zaman kesultanan Melayu Melaka, anda boleh berbincang apa sahaja di kampung dan desa. Kini lain, apatah lagi dengan adanya banyak sangat akta, kini kebebasan kita diambil.”
Dalam pada itu timbul persoalan kemungkinan media ekspresi menerusi grafiti ini adalah pengaruh budaya luar.
Menjelaskan perkara ini Hishamuddin berkata, “Ini bukan pengaruh luar. Semua orang obsess dengan pengaruh luar. Apa yang penting di sini ialah bukan kita yang memulakannya. Seharusnya kita jadi pemula. Kenapa kita tidak jadi pemula? kerana kita tidak ada kebebasan. Jadi kerana itu di Eropah mereka jadi pemula, kerana mereka ada kebebasan,” ujarnya sambil menambah tiada ukuran nilai baik atau buruk pada kebebasan berekspresi menerusi grafiti atau mural kerana di dalam hidup ini tiada baik atau buruk.
“Nilai baik atau buruk ini bergantung kepada keadaan hidup ketika itu,” ujar beliau mengakhiri bicara.
Baik grafiti, mural atau contengan semuanya adalah ekspresi pelukis. Namun harus diakui grafiti penuh artistik dan seronok ditatap dengan mainan warna terkawal. Yang penting grafiti dipersembahkan secara tertib dan memenuhi piawai izin pihak berkuasa tempatan berbeza seni ‘grafiti yang di gelar freedom of expression.’ Anda tataplah sendiri.

Box:
Grafiti berasal daripada kalimah Latin iaitu Graphium yang bermaksud ‘melukis atau menulis’ kini menjadi satu lagi luahan seni kreatif anak muda. Teknik lukisan yang berasal daripada barat dan memerlukan kemahiran semburan cat itu dikenal pasti mula memasuki negara ini sejak penghujung 1990-an.

Tiada ulasan: