
KETIKA pagi masih redup...bukan kerana masih pagi, tapi kerana langit rawan menakung pekat kembung akan mencurah hujan bila-bila masa, aku memandu -tidak begitu laju- dari Bukit Jalil ke Melawati..sedang hati amat rawan seperti langit itu..biru pekat menunggu runtuhnya bedungan air hujan, begitu agaknya bedung banjir di penjuru sempit jiwa aku. Gara-gara terlihat seorang lelaki Cina sedang menjamu selera dengan asyik di sebuah restoran di OUG ketika aku singgah tumpang parkir di hadapan kedai itu sebentar tadi untuk ke bank.Dia tiada salah pada aku. Tapi semakin lama aku perhatikan dia, jiwa tersentuh..terkenang arwah ibu. Atau kami semua menjulangnya dengan gelar Cik.Itulah nama pemilik syurga aku dan adik.Jauh menung ku sambil memandu seawal mula perjalanan hingga sampai ke Ofis.

Cik pergi pada 4 Januari 2005 membawa bersama diabetis yang dideritainya selama bertahun-tahun. Kerana diabetis juga Cik terpaksa menanggung luka dalaman lewat ibu jari kakinya yang sebelah kiri terpaksa dipotong. Luka dalaman itu tidak kami nampak kerana Cik pandai sekali menyembunyikan. Tatkala aku sering menelefonnya bertanya khabar atau tatkala aku sering pulang sebulan sekali menziarahinya dan ayah, Cik menzahirkan rianya dan nampak terlalu gembira, terlalu riang dan seakan tidak pernah derita sakit. Walhal kami semua tahu mata Cik tidak lagi terang seperti dia muda dulu dan sewaktu dia belum sakit. Apatah lagi setelah operasi ibu jari kaki, mata kanan Cik pula perlu dioperasi. Sesekali Cik ada mengadu, saraf rasanya dihujung jari serasa hilang. Dia tidak betah berpijak di lantai simen. Gara-gara ibu jari yang sudah tiada menyukarkan tunjang pijakan. Ayah berhabis ribuan ringgit mengubati. Banyak kali juga Hospital menjadi rumah kedua Cik. Tapi Cik selesa di rumah sendiri, dan adik aku yang merawatnya.
Perginya Cik tanpa sakit yang terlalu kuat, dia pergi dengan aman dan tenang dengan ayah dan adik aku disisinya. Kata adik, Cik masih boleh makan dan minum pada hari hari terakhirnya.Tapi aku tiada di sebelahnya. Aku di kota. Bekerja...
Dan dinihari 4 Januari 2005, seminggu selepas tsunami melanda Asia, aku pula dilanda tsunami..yang melara sehingga lebih 5 bulan untuk pulih...malah hingga hari ini aku masih rasa aku sunyi yang terlalu sunyi...sepi..kerana aku dan Cik terlalu erat umpama urat dalam daging.Mungkin kerana aku tiada disebelahnya ketika dia pergi menyambut panggilan Tuhan, membuatkan aku rasa ralat yang panjang dan tidak akan sewenangnya hilang. Mungkin juga kerana Cik pergi tanpa sempat aku berikan rawatan terbaik buatnya buat aku rasa terlalu kesal yang panjang dan tak mudah hilang. Mungkin juga....
Namun, jangan sekali-kali tuduh aku tidak redha dengan kepergiannya. Aku redha. Cuma kelibat lelaki tua itu pantas mengingatkan aku...kepada arwah Cik.
Alfatihah untuk arwah cik, Bondaku Hajjah Siti Julia Zainab bt Abdul Rahman..
Dan belum terlewat untuk aku kalungkan Selamat Hari Ibu untuk IBUKU dan seluruh ibu di dunia.
Tunas itu mula bercambah
Sekian lama tertanam di pelosok gentian
Menjalar robek sinar mentar
Walau halangan datang menerpa
Tunas itu mula berkembang
Kembangnya sekuntum mawar
Bagai si puteri bangkit beradu
Walau saingan menyerang tiba
Si mawar mula mewangi
Semerbak harum menusuk kalbu
Ayuan merah kelopak menawan
Lambaian hijau daunan menenang
Lembut tubuh bersalut duri
Membangkit cemburu iri sang flora
Menzahir gerun takut sang fauna
Hanya si kumbang gagah tiada gentar
Ibu dikaulah mawar itu
Yang kupujai tiap waktu
Yang kurindui wajahmu
Yang kukagumi ketabahanmu
Cekal hati mendidik daku
Sabar murni melayan kerenah anakmu
Tiada kedengaran sepatah keluhan
Tiada kelihatan setitip kemarahan
Kini mawar itu kian layu
Perlahan dimamah arus usia
Gugur sudah si ayu kelopaknya
Hilang sudah lambaian daunannya
Segamit memori ku kenangi
Setulus kasih ku dambai
Potret wajahmu ku tatapi
Sebuah kehilangan yang tiada ganti
khas buat ibu tersayang..
al-fatihah

Tiada ulasan:
Catat Ulasan