Oleh Azman Hj Mohd Nawi
Foto Jahariya Dominicus
Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Setelah itu ramai sasterawan dan wartawan Melayu yang memainkan peranan penting di dalam perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu yang berpusat di Singapura waktu itu, berpindah ke Kuala Lumpur.
Antara sebab perpindahan ini ialah kerana faktor berpindahnya ibu pejabat Utusan Melayu dan Berita Harian ke Kuala Lumpur, berpindahnya Dewan Bahasa dan Pustaka ke Kuala Lumpur dan dibukanya Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur mula menjadi pusat kegiatan bahasa dan kesusasteraan Melayu.
Zaman awal merdeka juga menyaksikan kerancakan warga penulis tanah air menyusupkan idealisme pembangunan bangsa, nilai patriotik, keagamaan dan sebagainya menerusi penulisan dan hasil karya mereka.
Memikirkan pentingnya penggabungan masyarakat penulis waktu itu dan demi kelangsungan survival perjuangan memartabatkan dunia kepenulisan serta bahasa Melayu itu sendiri, maka PENA dilahirkan pada awal 1961.
Elok dan indahnya tika itu kerana PENA bukan sekadar persatuan penulis. Bahkan PENA adalah sebuah institusi, tempat berkubunya nasionalis Melayu yang memperjuangkan kepentingan Melayu. PENA menjadi wadah mencorakkan wajah dunia penulisan tanahair.
Dekad demi dekad berlalu, dengan perubahan sosio-politik yang merencam, hala perjuangan masyarakat semakin hari semakin bertukar daripada membina simbol kebangsaan kepada sebuah negara industri. Dan hal ini menjadikan PENA seakan makin terpinggir dan terasing daripada arusnya.
Lalu sehingga tahun 2000an, apakah PENA masih lagi relevan dengan rakyat Malaysia? Adakah PENA masih di tahap yang sama seperti 10 atau 15 tahun yang lalu? Ini adalah saatnya bagi seluruh penggerak PENA khususnya dan masyarakat Malaysia memikirkan bolehkah PENA terus memberi manfaat kepada pembangunan bangsa dan negara.
Namun demikian, hakikatnya masa depan PENA banyak bergantung kepada sejauh mana ia dapat meneruskan sikap progresif yang dirintis oleh tokoh-tokoh awalnya; iaitu sambil memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu, ia juga menjadi wadah patriotik.
Masa depan PENA sesungguhnya lebih kompleks dan mencabar kerana ia wajar menghadapi cabaran dan mehnah globalisasi yang cepat berubah. Pemimpinnya harus mempunyai keberanian intelektual yang bebas dan bertanggungjawab; sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai fikiran seniman tempatan dan dengan dialog yang universal.
Apakah masih relevan perjuangan Pena demi mendaulatkan bahasa Melayu atau kecundang ditelan kehendak ekonomi politik semasa. Apakah jeritan Pena seakan tidak didengari kala kedaulatan Bahasa Melayu kian terpinggir. Siapa yang patut memikul tanggungjawab lantaran keghairahan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di dalam pembelajaran Sains dan Matematik peringkat sekolah. Apakah pula agenda terkini Pena bagi mendekati golongan muda. Fokus Suara Baru ada laporannya.
KEWUJUDAN YANG MENYATUKAN
Menyingkap Lembar Sejarah Mengiakan Sebuah Catatan
Perlembagaan PENA menyatakan, penubuhannya adalah untuk “Menyatukan penulis-penulis tanah air dari semua peringkat dan segala aliran pendapat; dan berusaha seluas-luasnya dalam lapangan bahasa, kesusasteraan dan ilmu pengetahuan, bersesuaian dengan kepentingan-kepentingan nasional dengan tidak terikat kepada dasar politik kepartian dan terkeluar daripada bidang undang-undang negara” (Tujuan, Perlembagaan PENA).
Persatuan Penulis Nasional (Pena) bermula dari Asas 50 sebelum Malaysia merdeka oleh sekumpulan penulis yang memperjuangkan seni untuk masyarakat. Setiausaha Agung Pena, SM Zakir berkata, generasi pertama Pena tidak sekadar mencipta seni untuk dinikmati dan menghiburkan masyarakat, bahkan kesejatian seni adalah untuk membina kesedaran masyarakat bagi menentang penjajah Inggeris.
“Pusat Asas 50 terletak di Singapura dan pulau itu menjadi pusat sastera dan budaya Melayu. Di situlah berlakunya perkembangan kebudayaan, percetakan, keilmuan dan universiti. Gerakan Melayu pun lahir di Singapura. Penubuhan Asas 50 pada dasarnya untuk menyedarkan masyarakat bagi berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan tanahair. Apabila kemerdekaan diperolehi, Tanah Melayu terpisah daripada Singapura dan pusat pentadbiran negara mula beroperasi dari Kuala Lumpur,”
Selepas merdeka iaitu pada hujung tahun 50an, tiga institusi penting orang Melayu pada waktu itu iaitu Universiti Malaya dan Utusan Melayu telah dipindahkan ke Kuala Lumpur. Demikian juga Dewan Bahasa dan Pustaka yang sebelum itu beroperasi di Johor turut dipindahkan ke ibu kota. Hal ini menyebabkan para penulis yang berada Singapura kemudiannya turut berbuat demikian.
“Apabila berpindah ke Kuala Lumpur, penulis-penulis ini terfikir ketika memperjuangkan Asas 50; mereka berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajah. Tetapi kini sudah merdeka, jadi penulis-penulis ini seperti A.Samad Ismail , Usman Awang, Keris Mas, Kassim Ahmad, Syed Husin Ali dan lain lain pada masa itu terfikir untuk menubuhkan sebuah persatuan penulis, dan semestinya persatuan penulis yang yang baru itu bukan lagi seperti Asas 50,”
“Senario ketika itu jauh berbeza kerana negara sudah merdeka. Persatuan penulis itu ditubuhkan untuk menggagaskan bagaimana sebuah negara baru. Pengisiannya ialah untuk memperkukuhkan bahasa Melayu dan dasar-dasar kebangsaan. Antara dasar paling penting yang diperjuangkan ialah bahasa Melayu sebagai asas sebuah negara bangsa yang baru,”
Pada 12 Februari 1961, Persatuan Penulis Nasional (PENA), telah dirasmikan penubuhannya oleh Y.B. Encik Abdul Rahman Talib, Menteri Pelajaran waktu itu, dalam satu persidangan yang dihadiri oleh kira-kira 65 orang penulis bertempat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Kelahiran persatuan ini adalah sesuai pada masanya dan sejajar dengan perkembangan dan perubahan-perubahan baru yang terdapat dalam negara. Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang berdaulat kerana baru beberapa tahun sahaja mencapai kemerdekaan. Pusat kegiatan politik, ilmu pengetahuan dan kebudayaan telah berpind\ah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Universiti Malaya bukan lagi di Bukit Timah tetapi mempunyai tapak baru di Lembah Pantai; demikian juga dengannya Jabatan Pengajian Melayu dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, (PBMUM).
Markas surat-surat khabar dan majalah turut terlibat dalam perpindahan ke utara. Semua ini mempunyai pengaruh dan galakan yang sihat kepada pertumbuhan dan kegiatan-kegiatan kebudayaan dan kesusasteraan kebangsaan. Ia juga memberi nafas dan semangat serta kepercayaan baru kepada penulis mengenai tanggungjawab mereka dalam usaha-usaha mengisi kemerdekaan melalui kesusasteraan serta kesedaran untuk membela maruah dan hak-hak kaum sasterawan.
Tokoh-tokoh penulis yang menjadi pengasas PENA ialah Kamaludin Muhammad (Keris Mas), Ali Haji Ahmad (Allahyarham), A. Samad Ismail, Said Zahari, Syed Husin Ali, Usman Awang (Tongkat Warrant) dan Yusuf Hitam. Mereka ini juga menjadi penggerak utama persatuan selain daripada tokoh-tokoh seperti Noor Azam, Hassan Ibrahim, Bakar Hamid, Adam Kadir, Salleh Daud, Omar Mohd. Hashim, Hassan Ahmad, Baha Zain, Kassim Ahmad dan Abdullah Hussein.
Kegiatan-kegiatan persatuan ini meliputi bidang penerbitan majalah seperti Suara Pena dan Penulis, juga ceramah, forum, diskusi buku, mengadakan kursus penulisan kreatif kepada bakat-bakat baru, seminar, pameran buku dan membuat lawatan-lawatan sambil belajar ke luar negeri.
Isu-isu terpenting yang telah diperjuangkan oleh PENA ialah mengenai penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia; taraf, kedaulatan dan perlaksanaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan; soal hak-cipta, serta penyusunan semula kursus-kursus di jabatan Pengajian Melayu.
TUGAS PENA
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
Perjuangan hak cipta demi melindungi kepentingan pengarang
Perjuangan menjadikan Pena sebagai badan mampu menjana pendapatan
ASAS 5O
Nama ASAS 50 ialah singkatan daripada Angkatan Sasterawan 50. Ditubuhkan di Singapura pada 6 Ogos 1950. Anggota-anggota ASAS 50 yang aktif terdiri daripada penulis, wartawan dan guru-guru Melayu.
ASAS 50 ialah pertubuhan sebelum merdeka yang paling besar sumbangannya kepada perancangan dan perkembangan bahasa Melayu. Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-2 di Seremban pada 1 dan 2 Januari 1954, ASAS 50 menyokong usul kesatuan guru-guru Melayu Singapura supaya tulisan rumi dijadikan tulisan rasmi.
Pada tahun 1954, ASAS 50 menghantar memorandum mengenai tulisan rumi sebagai tulisan rasmi kepada kerajaan. Pada 11 Jun 1956, ASAS 50 menghantar memorandum kepada kerajaan, supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa umum dan bahasa pengantar bagi semua peringkat, dari sekolah rendah ke peringkat pengajian tinggi. Apabila Laporan Razak 1966 dikeluarkan ASAS 50 sekali lagi menghantar memorandum mendesak supaya bahasa Melayu tetap menjadi Bahasa Kebangsaan.
Pada tahun 1956 juga, di dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-3 di Singapura dan di Johor Baharu pada 16 hingga 21 September 1956, ASAS 50 mengemukakan memorandum yang sangat penting, iaitu antaranya:
1. Ditubuhkan Balai Pustaka (Kini Dewan Bahasa dan Pustaka)
2. Disatukan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.
3. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah.
3. SETENGAH ABAD MENGISI AGENDA
12 Februari 1961 : Bermula sejarah sebuah persatuan penulis nasional yang sangat penting iaitu
penubuhan Pena di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Januari 1964 : Majalah Penulis diterbitkan oleh Pena bagi memperluaskan komunikasi dan pengucapan sastera di kalangan pengarang Melayu dan bukan Melayu malangnya penerbitan penting ini tidak berterusan.
Sekitar 1967 : Pena secara tidak langsung melalui para aktivisnya melahirkan puisi-puisi protes yang keras melalui antologi Keranda 152 dan Telok Gong. Ketika ini antara penulis dan pemimpin kerajaan banyak perbezaan pandangan terutama dalam isu bahasa sehingga wujud ketegangan perhubungan antara kedua belah pihak.
Ogos 1967 :Pena mengambil inisiatif menggubal “Manifesto Penulis” sebagai menyuarakan kebebasan berucap untuk kaum penulis. Manifesto ini memperlihatkan peranan Pena sebagai jurubicara bagi penulis yang merasakan hak kebebasannya dipersoalkan oleh tokoh politik kerajaan.
13 Mei 1969 : Krisis 13 Mei membuka mata banyak pihak tentang perlunya perpaduan dan asas kebangsaan yang jelas demi kestabilan negara yang berbilang bangsa. Sejak peristiwa malang ini, antara intelektual dan pemimpin negara wujud kebijaksanaan untuk saling membantu.
Perkongsian pemikiran dan idea antara kedua belah pihak seperti penggalakan dan pengiktirafan sastera, dasar kebudayaan kebangsaan dan penubuhan UKM.
20 September 1969 : Sesuai dengan semangat Pena yang tidak kedaerahan, berpuak-puak dan perkauman, persatuan ini mengambil inisiatif membincangkan gagasan kerjasama antara badan-badan penulis negeri.
23 Oktober 1970 : Persidangan yang dihadiri oleh 13 persatuan penulis dari pelbagai tempat telah bersetuju menubuhkan Gapena (Gabungan Persatuan-persatuan Penulis Nasional).
Dekad 70an : Menjadi dekad yang sangat penting dalam perkembangan politik Malaysia. Pada dekad ini beberapa dasar diwujud dan dilakasanakan seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, penyeragaman ejaan Malaysia-Indonesia, penggunaan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar mulai di sekolah rendah dan pengiktirafan terhadap kesusasteraan Melayu.
Dekad 80an : Menjadi dekad pembangunan setelah beberapa dasar ekonomi dan budaya diwujudkan bagi membanteras kemiskinan, menyusun semula masyarakat dan meletakkan asas-asas bagi membina perpaduan serta jati diri bangsa.
1997 : Sebagai sebuah persatuan yang tidak mempunyai sumber kewangan tetap dan banyak bergantung kepada derma luar, Pena selalu menumpang di sana-sini bagi urusan pentadbirannya. Hanya mulai 1997, Pena diberikan sebuah rumah kerajaan yang cukup besar dan menarik kawasannya di Jalan Dewan Bahasa
Dekad 90an : Sepuluh tahun terakhir abad ke 20 adalah era khas bagi Pena. Beberapa wacana besar telah memperlihatkan sikap terbuka Pena untuk berdialog dalam dunia universal meskipun dasar perjuangan kebangsaannya berlandaskan bahasa dan kebudayaan Melayu.
Saban bulan juga diadakan dialog dan perbincangan di kalangan penulis muda. Pimpinan Pena zaman 90 an banyak memberikan perhatian untuk meningkatkan kerja menghasilkan karya.
Dari tahun 1992 hingga 2004 sahaja sekurang-kurangnya enam memoranda penting dikeluarkan oleh Pena dan beberapa caangan Pena telah diperhatikan oleh kerajaan dan dilaksanakan seperti dalam bidang cukai, kemudahan kredit penerbitan, galakan membaca dan juga kegiatan kesenian di kalangan seniman tempatan.
Gambar hiasan: rumah pena, seminar penulisan, peristiwa 13 Mei, pembangunan negara.
5. PENA PERLU LEBIH ‘GARANG’
Kepimpinan Pena kini berdepan tugas berat iaitu mengembalikan maruah bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara yang tercalar sejak 2003 ekoran PPSMI.
---
PERSATUAN Penulis Nasional (PENA) pernah menjadi tempat berkumpul para penulis dan seniman tanah air pada suatu ketika. Pena gagah melontar idea dan mengangkat isu kemasyarakatan hingga mampu melorongkan usul-usul penting seperti kemiskinan dan pembinaan tamadun bangsa.
Biarpun hanya badan bukan kerajaan (NGO) Pena dikenang kerana bertanggungjawab membawa perubahan struktur pembangunan bangsa menerusi penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga pembinaan pelbagai dasar negara.
Tetapi itu dulu. Kini Pena seakan makin lenyap peranannya.
Kini, kalau ada pun Pena cuma diingati dan dilabel dengan imej ‘sekadar berkeupayaan mengadakan acara baca puisi dan bengkel penulisan’ semata-mata. Bahkan ia dilihat tidak relevan oleh banyak pihak kerana perubahan zaman memerlukannya tampil sebagai badan yang lebih berwibawa. Pena dikatakan tidak lagi menjadi aspirasi penulis bahkan ia tidak bebas dan lebih mengidentifikasikan dirinya dengan pemerintah.
Hakikat ini diakui oleh bekas Setiausaha Satu Pena (setaraf setiausaha agung kini) Dr Syed Husin Ali, menurutnya, Pena membuatkan dirinya semakin tenggelam. Berbanding dahulu, persatuan itu kini semacam hilang peranan sebenarnya.
“Inilah yang berlaku apabila Pena cuba ‘nak mengikut line pemerintah. Apabila terlalu mengikut, ia takkan dapat melebihi tuannya. Seandainya sesuatu persatuan itu terlalu mengikut akhirnya orang yang berfikiran bebas sedikit- tidak semestinya pembangkang sekalipun, tak suka lagi berada di situ. Akhirnya, Pena bukan lagi penjelmaan kepada cita cita penulis. Lalu wujud tak wujud Pena tidak akan mempengaruhi nasib si penulis atau penulisannya,” jelas Syed Husin yang menduduki Setiausaha Pena pada 1961 hingga 1964.
“Pena masa kini lebih mendekatkan dirinya dengan pemerintah. Bagi penulis yang mahu lebih bebas tidak mahu ikut serta dan tak mahu menyumbang kerana kaum penulis adalah makhluk Tuhan yang bebas dan tidak mahu dikongkong. Sebaliknya, Pena boleh survive tanpa cara itu. Syaratnya penulis mesti kuat dan boleh menyumbang kepada negara tetapi hal ini tidak berlaku,” kata Dr Syed Husin yang merupakan antara pengasas Pena.
Penulis tegasnya, mestilah memainkan peranan utama mereka iaitu menulis. Dan penulisan yang dihasilkan perlulah lebih tinggi mutunya.
“Wajar diingat, penulis juga sebahagian dari masyarakat umum. Ia mesti bertanggungjawab dengan idea dan hasilnya. Serta mesti tahu kedudukan mereka dalam masyarakat. Justeru, jadi penulis yang betul penulis,” katanya lagi yang pernah menjawat jawatan profesor Sosiologi Universiti Malaya dan profesor pelawat Universiti Cambridge di England.
Sebagai salah seorang penggerak awal Pena, semestinya Syed Husin tahu apa yang diperkatakannya. Apatah lagi, lelaki yang bakal menjengah usia 73 tahun ini pernah berjuang di samping barisan ahli awal Pena yang komited seperti Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang sebagai Ketuanya.
BEZA PENA DAHULU DAN SEKARANG
Dahulu dan kini amat besar bezanya. Sekadar perbandingan asas kata Syed Husin, dahulu Pena dipimpin oleh wartawan dan penulis yang kebanyakannya mempunyai kesinambungan daripada tradisi penulisan yang komited dibawa oleh Asas 50.
“Anggota Pena zaman itu bukan sahaja mengutamakan soal penulisan dan karya. Mereka juga perjuangkan bahasa, hak Melayu dan yang penting hak cipta. Bahkan Pena pernah mengambil tindakan terhadap Oxford University Press kerana mengeluarkan kumpulan cerpen tahun 60an tanpa bayaran kepada penulis,”
“Tetapi tragedinya bila duit yang dimenangi dihabiskan bukan untuk kebajikan. Bukan untuk memperjuangkan agenda Pena, kebanyakannya diselesaikan melalui majlis-majlis anjuran Pena.
Jelasnya, peruntukan sebanyak RM30 ribu itu diberi kepada Pena untuk membentuk satu dana mempertahankan hak penulis dan kebajikan mereka. Dan 30 ribu waktu sangat tinggi nilainya. Insiden menyedihkan ini berlaku setelah enam bulan beliau dan Usman Awang berundur.
Syed Husin berkata, kini Pena seakan ketinggalan daripada menghayati dunia kesasterawanan secara yang wajar meskipun usianya hampir sebaya dengan umur negara.
“Sepatutnya dengan umur yang begitu matang, Pena sudah boleh melakukan sesuatu yang gah. Terutamanya untuk kalangan generasi baru dan mungkin ada sesuatu yang tertinggal di situ,” keluh beliau.
Memperincikan perkara itu, Syed Husin menjelaskan realitinya tiada kekurangan pun dari segi anggota dan pemimpinnya. Tetapi yang ketara ialah pada hari ini komitmen penulis tidak seperti dulu.
“Penulis hari ini gagal memberikan komitmen mereka. Demikian juga pimpinan dalam Pena dan Gapena tidak memberikan teladan yang baik untuk menulis. Perkara kedua ialah komitmen terhadap isu-isu yang utama seperti isu bahasa yang menjadi wahana penulisan.
“Kalau dahulu misalnya isu bahasa menjadi isu penting yang diangkat oleh Pena sebagai prioriti. Tetapi kini, bila soal bahasa timbul seperti soal pengajian Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), saya tidak mendengar suara yang signifikan sama ada daripada Pena mahupun Gapena berhubung perkara tersebut.”
KEMBALIKAN MARUAH PENA
Dalam kesibukannya sebagai Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), nyata Syed Husin masih punya waktu untuk duduk sebentar merenung survival dunia sastera negara. Baginya, kepimpinan Pena kini berdepan tugas berat iaitu mengembalikan maruah bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara yang tercalar sejak 2003 ekoran PPSMI.
Semestinya, sebahagian besar orang Melayu menyandarkan harapan kepada Pena untuk memperjuangkan perkara ini memandangkan perkembangan mutakhir ini menyaksikan bahasa Melayu semakin diperkotak-katikkan bukan saja oleh orang awam bahkan kalangan ahli politik sendiri.
Hendaknya Pena sebagai persatuan penulis peringkat nasional sedia menggalas tanggungjawab untuk mengembalikan maruah bahasa Melayu di negara ini, meskipun tidak dinafikan ia memerlukan sokongan padu daripada pelbagai pihak untuk mengembalikan dasar yang dilaksanakan tanpa mendapatkan persetujuan Parlimen terlebih dulu.
Bagi Syed Husin, Pena tidak boleh mengelak daripada memikul tugas ini dengan alasan Kementerian Pelajaran tidak memasukkan persatuan penulis pada Persidangan Meja Bulat Pengajaran Sains dan Matematik yang sudah berlangsung sejak beberapa bulan lalu.
Semangat yang kuat daripada Pena dan sokongan pelbagai pihak penting bagi merealisasikan hasrat ini memandangkan ada saja alasan digunakan oleh kelompok yang suka mengambil kesempatan ke atas kelemahan kepimpinan politik Melayu pada masa ini sehingga sanggup menjadikan perkara tidak masuk di akal untuk menghalalkan tindakan mereka.
Sehubungan itu, komitmen kepada isu-isu yang membela nasib penulis juga perlu diambil kira. Bagi Syed Husin, tidak kiralah sama ada penulis itu establish atau pun tidak. Contohnya seperti masalah yang pernah dihadapi oleh A.Samad Said satu ketika dahulu. Beliau mengakui tidak mendengar satu suara pun daripada pertubuhan penulisan yang menjelaskan kedudukan dan pendirian mereka.
“Pada hari ini pula penulis muda menghadapi banyak masalah untuk menerbitkan karya mereka sebab ada penerbit yang hanya lebih berminat menerbitkan buku-buku dalam jalur tertentu tetapi tidak banyak yang berminat menerbitkan hasil sastera yang bererti,” katanya.
Hambatan masalah yang seumpama ini ujarnya, memerlukan perhatian sewajarnya daripada Pena. “Persatuan ini wajar mengambil peranannya. Pada suatu ketika kami pernah berbincang untuk mengadakan badan penerbitan dan itu adalah salah satu daripada tujuan sampai mengumpul RM30 ribu untuk membela nasib penulis. Tetapi nampaknya kini soal pembelaan atau kebajikan penulis tidak timbul sama sekali,” kata beliau.
Syed Husin juga mengakui terlalu banyak aktiviti yang dilakukan di dalam Pena yang beliau anggap sebagai aktiviti-aktiviti escapism; pergi ke luar negara untuk membincangkan orang Melayu atau konsep Melayu dan sebagainya, padahal masalah-masalah yang berlaku seputar orang orang Melayu berlaku di sini.
“Perkara ini berlaku kerana seolah rancangan kita adalah rancangan escapism. Salah satu puncanya ialah mereka tidak lagi merasa komited terhadap masyarakat. Dalam masa yang sama, kebanyakan penulis hari ini adalah dari golongan yang dikatakan kelas pertengahan dan hidupnya jauh lebih mewah dari masyarakat biasa. Justeru berkemungkinan dengan tiadanya komitmen, perkara yang penting di kalangan rakyat; dianggap sebagai perkara remeh temeh,” sela beliau.
Jika persatuan penulis seperti Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) mewangi namanya dalam peta sejarah sastera tanah air kerana perjuangan sehingga disebut-sebut sampai hari ini, hendaknya Pena kembali menyemarakkan maruah pengarang dan bahasa Melayu yang semakin lesu ditelan zaman.
Melihat kepada pelbagai isu yang menggempur, hendaknya Presiden baru Pena, Datuk Baharudin Zainal dapat mengembalikan perjalanan Pena agar tampil sebagai badan lebih berwibawa. Ini penting dalam melindungi hak eksklusif pengarang kreatif negara ini termasuk dalam hal hak cipta, agar dilihat terus relevan meskipun digempur dengan pelbagai hambatan.
Cukuplah persatuan penulis dilabelkan dengan imej sekadar berkeupayaan mengadakan acara baca puisi dan bengkel penulisan sehingga dilihat tidak relevan oleh banyak pihak kerana perubahan zaman memerlukannya tampil sebagai badan berintegriti dalam menggembleng maruah sastera negara.
Anggota Pena zaman itu bukan sahaja mengutamakan soal penulisan dan karya. Mereka juga perjuangkan bahasa, hak Melayu dan yang penting hak cipta. Bahkan Pena pernah mengambil tindakan terhadap Oxford University Press kerana mengeluarkan kumpulan cerpen tahun 60an tanpa bayaran kepada penulis,”
Gagasan Kebudayaan Mahathir lemah
Pena tegas mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan, dan menurut Presiden Pena selama 22 tahun memerintah negara, Dr Mahathir telah gagal membina rasa hormat dan kemuliaan terhadap bahasa Melayu kerana falsafah pembangunan bekas Perdana Menteri itu disifatkan berat sebelah.
-----------------
PRESIDEN Pena, Datuk Baharudin Zainal atau popular sebagai Baha Zain berkongsi jiwa dan semangatnya dalam wawancara eksklusif bersama SUARA BARU tentang kepimpinan dan hala tuju Pena setelah menduduki kerusi Presiden Pena sejak November lalu.
Beliau menjelaskan mengapa Pena beria-ia benar menentang pelaksanaan penggunaan Bahasa Inggeris di dalam pengajian Sains dan Matematik (PPSMI).
Meskipun usia beliau bakal mencecah 70 tahun menjelang 2009, namun semangat perjuangannya seperti orang muda, beliau secara berterus-terang mengambil sikap menentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan Matematik.
Datuk Baha menyalahkan sikap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang di sifatkan beliau sebagai “autoritarian yang menimbulkan rasa takut kepada khalayak,”.
Katanya, beliau tidak terpukau dengan pembangunan yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir, kerana “Gagasan kebudayaannya sangat lemah,”. Beliau bahkan menganggap 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir sebagai “lebih kepada melahirkan elit-elit kapitalis, elit-elit politik, sofistikated, tetapi pembangunan akal budinya terkebelakang.”
Dan tidak ketinggalan Baha Zain melepaskan sindiran terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang disifatkan beliau tidak mempunyai keazaman politik untuk memperbetulkan kesilapan yang pernah dilakukan oleh Dr Mahathir.
Sebagai nasionalis Melayu, Datuk Baha tidak segan melahirkan rasa kecewa dengan sikap dan dolak-dalik pemimpin politik terhadap agenda memperjuangkan Bahasa Melayu dan agama Islam.
“Bagi saya tidak kira siapa pun yang jadi pemimpin, tidak kira siapa pun jadi Perdana Menteri, perjuangan nasional seperti bahasa dan agama tiada akhirnya.” Katanya.
Ikuti sedutan temu bual bersama Baha Zain bersama SUARA BARU.
SUARA BARU:Pada tahun-tahun awal perjuangan Pena, persatuan ini pernah gah di mercu. Apakah kekuatannya hingga berjaya mengangkat isu sezaman dan suaranya didengari oleh pemimpin kerajaan dan pembangkang?
BAHA ZAIN: Dahulu budaya kesasterawanan berpusat di Singapura. Tetapi para penulis yang aktif di Singapura adalah orang Malaysia juga, dan mereka kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur lalu KL menjadi pusat pertembungan para budayawan dan sasterawan. Itu merupakan satu kelompok yang paling aktif dan bersifat nasional pada awal merdeka. Jadi dengan sendirinya, pada awal 1957 hingga 1967, Pena sangat aktif bersama Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).
Pusat kegiatannya berlaku di UM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Utusan Melayu. Tiga institusi itu merupakan tempat artikulasi perjuangan nasional terutama dari segi kebangsaan budaya dan linguistik.
Kemudian timbul semacam pertembungan intelektual antara establishment dengan kelompok-kelompok cendekiawan Melayu ini di dalam isu kemiskinan dan bahasa. Paling ketara di dalam Himpunan Sajak Keranda 152 kerana setelah kita merdeka, aspirasi kemerdekaan ini tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan yang merdeka ini dengan cepat, selain daripada wujud terlalu banyak tolak ansur dengan kelompok-kelompok lain.
Sampailah berlakunya kegelisahan sosial yang mencetuskan Tragedi Mei 1969. Jadi sebenarnya antara tahun awal 1960an hingga 1969, sudah berlaku perbezaan-perbezaan dan konflik pendapat antara intelektual Melayu dengan kerajaan.
Sajak protes seperti Telok Gong karya Usman Awang bercerita tentang soal kemiskinan dan bukan isu bahasa, bahkan kalau diperhatikan ianya ditulis oleh penulis yang mewakili suara rakyat terbanyak.
Di dalam isu bahasa, intelektual Melayu tidak puas hati dengan Akta Bahasa Kebangsaan. Masalah 1969 itu bukan masalah yang mudah kerana penulis menentang. Selepas 13 Mei 1969, demokrasi kita ditangguhkan. Dewan Rakyat digantung. Pena adalah satu satunya badan intelektual yang menghimpunkan pelbagai ilmuan dan budayawan. Ia bukan sahaja bercakap tentang bahasa, sastera dan budaya, tetapi juga soal ekonomi dan isu sosial sezaman.
Bagaimana ketika itu Pena berjaya memaparkan dirinya sebagai badan yang kuat dan berintegriti sehingga digeruni oleh golongan pembuat dasar?
Selepas Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibubarkan, dan Dewan Rakyat disambung semula, Allahyarham Tun Abdul Razak yang mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri yang kemudiannya melakukan banyak pembaharuan termasuk memperkenalkan dasar baru yang sangat bermakna dan besar seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar.
Ini bererti Tun Razak menyambut baik reaksi rakyat dan sensitif terhadap suara-suara perjuangan pada tahun 1960an itu. Dasar Kebudayaan Kebangsaan kemudiannya diperkenalkan oleh Tun Razak kemudiannya penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi kemuncak kepada perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan kemudiannya dilancarkan pada tahun 1970an dengan dirumuskan polisinya oleh para seniman dan pegawai kerajaan. Juga penyatuan ejaan dan Dasar Ekonomi Baru turut berlaku pada zaman Tun Razak juga.
Jadi kegelisahan rakyat disuarakan oleh Pena dan pembuat dasar pada zaman itu mengambil kira pandangan dan kegelisahan tersebut. Pena secara tidak langsung menjadi corong menyuarakan hasrat rakyat terutamanya orang Melayu dan golongan nasionalis.
Adakah Pena terus mempertahankan prinsip perjuangannya sehingga ke hari ini?
Pena hanya merupakan sebuah NGO, yang dalam serba serbi kekurangan , tidak mempunyai wang yang cukup, tidak mempunyai kuasa politik. Ia hanya mempunyai pengaruh yang terbatas, yang tidak boleh melihatkan hasil perjuangan dalam waktu yang terdekat, sebab tidak mempunyai kewangan dan politik, yang mana ianya sangat penting untuk merealisasikan idea. Pena selamanya bersikap patriotik tetapi realistik.
Dalam erti kata lain, Pena terus tidak berganjak daripada tujuan asal penubuhannya, untuk memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan sebagai bahasa persatuan penduduk, secara automatiknya bila dikatakan bahasa rasmi maka terangkum di dalamnya bahasa ilmu. Pena tidak pernah berganjak dan tidak pernah apologetik bila menyuarakan isu ini, ini bukan isu perkauman, bukan isu Melayu, tetapi ia adalah isu nasional.
Bagi saya, falsafah pembangunan Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun pemerintahannya boleh dikatakan terlalu berat sebelah, materialistik, saintifik dan teknologi, bukan yang berbudaya, akhlak dan kemanusiaan. Sepatutnya dalam pembangunan nasional ia mesti berimbang. Pembangunan yang mengambil kira pembentukan sosial, etika dan moral masyarakat. Ia tidak boleh sekadar pembangunan teknologi, kebendaan, ekonomi dan berasaskan ekonomi semata-mata. Di samping mengekori industri dunia, kita seolah-olah melupakan untuk memperkayakan golongan intelektual.
Datuk agak kritis terhadap 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir, mengapa?
Kritikan saya ialah terhadap dasar pembangunan materialnya. Selama 22 tahun, zaman Dr Mahathir lebih kepada melahirkan elit-elit kapitalis, elit-elit politik, sofistikated, tetapi pembangunan akal budinya terkebelakang. Jadi bayangkan, selepas Dr Mahathir turun orang terus serang bahasa kebangsaan. Ini bererti selama itu hormat dan kemuliaan bahasa itu tidak dibina. Dia memerintah secara autoritarian yang menimbulkan rasa takut kepada khalayak, dan ini bererti pemerintahannya adalah pemerintahan yang tidak sihat.
Adakah Tun Razak tidak meninggalkan asas yang kuat sehinggakan pemimpin selepasnya tidak meneruskan dasar sedia ada?
Bukan salah menuju negara industri, tapi janganlah meminggirkan apa yang dah ada. Antara sebab ketiadaan penerusan dasar ialah, Tun Razak tidak memimpin lama. Tetapi dia telah meletakkan asas yang sangat hebat. Dan ini bererti dia memerlukan banyak modal insan yang hebat juga. Tapi belum dapat dilaksanakan.
Dan Tun Razak hanya sempat meletakkan dasar sahaja. Bayangkan tentang bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Dalam waktu itu, kita belum lagi ada 10 kamus yang besar-besar. Kita belum lagi ada ensiklopedia seperti Brittanica dalam bahasa Inggeris. Ini bukan boleh dibina dalam masa empat lima tahun. Banyak perkara dan proses yang diperlukan untuk mengisi asas-asas ini. Tenaga profesional kita masih belum cukup pada waktu itu. Inilah isu yang sepatutnya Dr Mahathir fikirkan. Kelalaian beliau adalah sesuatu yang sangat luar biasa.
Jangan terpukau dengan pembangunan yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir. Gagasan kebudayaannya sangat lemah. Dia hanya mementingkan monumen. Memanglah ada teori mengatakan, kita boleh mengubah pandangan dan nilai orang dengan meletakkan benda-benda yang orang boleh nampak. Tapi itu sementara sahaja.
Bagaimana Datuk melihat nasib Bahasa Melayu di dalam pendidikan sekolah setelah kerajaan melancarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI)?
Apabila kerajaan lancarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, saya tentang habis-habisan, itu pendirian saya. Saya jumpa Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dua kali saya jumpa Pak Lah, saya cakap jelas-jelas, bukan emosional, tetapi ikut rasional. Kita konsisten, ini tidak bermakna kita tidak suka bahasa Inggeris, anak-anak saya pun belajar bahasa Inggeris, tetapi kena utamakan bahasa ibunda.
Perjuangan saya cukup jelas, walaupun saya bukan orang politik. Untuk perjuangan bangsa, tak semestinya jadi orang politik. Masing-masing ada peranan dalam perjuangan seluruh kehidupan kita, mesti maju dalam semua bidang. Kita perlukan peniaga, tukang kebun yang baik, barangkali pemandu teksi yang jujur juga penting untuk negara kita, bukan hanya menteri, ahli sukan pun sama, macam Datuk Nicol David (skuasy) dan Datuk Lee Chong Wei (badminton).
Apa pula sikap Pena di dalam hal ini?
Pena kekal dengan pendirian menentang PPSMI meskipun pendirian Gabungan Penulis Nasional (Gapena) berhubung perkara terbabit kabur ekoran sikap pemimpin mereka mendiamkan diri. Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dengan serius kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang pernah dimantapkan oleh Tun Razak. Saya yakin masyarakat Melayu tidak mahu melihat bahasa Melayu tergadai hanya kerana kepentingan peribadi sesetengah pihak. Kita perlu sedar bahawa PPSMI bukan saja menyebabkan maruah Melayu tergadai, malahan ia boleh menjejaskan golongan intelektual Melayu.
Adakah kepimpinan kita tidak menyedari pentingnya isu ini?
Inilah kelemahan Pak Lah. Dia tidak mempunyai political will tiada komitmen politik untuk memperbetulkan kesilapan yang pernah dilakukan oleh Dr Mahathir. Sebab bahasa bukan sekadar ungkapan, tetapi ia adalah asas kepada pembinaan jati diri dan pembentukan tamadun sesuatu bangsa. Kedalaman pemikiran yang sebegini yang sangat lemah di kalangan pemimpin kita. Kita tidak seperti Jepun, Korea, China, Perancis, Amerika mahu pun England yang mendaulatkan bahasa mereka kerana mereka sedar asas pembinaan sesuatu tamadun adalah bahasa mereka.
Walaupun sesama China sendiri tidak mengerti bahasa mereka, tetapi identiti mereka adalah karakter dan kaligrafi. Itu menjadi satu lambang identiti bangsa. Kita sebaliknya menganggap enteng isu bahasa ini. Sedangkan bahasa Melayu adalah satu rumpun bahasa yang digunakan oleh hampir 300 juta orang di seluruh dunia.
Sebagai rakyat yang progresif dalam industri dan turut mendaulatkan budaya intelektualisme, apa yang boleh diharapkan daripada Datuk Seri Najib sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia yang akan datang?
Bagi saya tidak kira siapa pun yang jadi pemimpin, tidak kira siapa pun jadi Perdana Menteri, perjuangan nasional seperti bahasa dan agama tiada akhirnya. Sebagai orang Melayu dan Islam dan orang yang patriotik mestilah terus bersuara. Barangkali saya tiada kekuasaan untuk melaksanakan , tetapi kita harus bertolak daripada hati nurani, kita harus terus bersuara apa yang boleh untuk rakyat Malaysia.
QOUTE
1. Falsafah pembangunan Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun pemerintahannya boleh dikatakan terlalu berat sebelah, materialistik, saintifik dan teknologi, bukan yang berbudaya, akhlak dan kemanusiaan.
2. Apabila kerajaan lancarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, saya tentang habis-habisan, itu pendirian saya.
BAHASA MELAYU
Bahasa Melayu ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Indonesia, Malaysia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lagi. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang. Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu juga dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga di tutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Thailand Selatan, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen".
Pena dekad ini aktif menarik minat penulis dan seniman muda berbagai-bagai program dan projek yang diusahakannya.
“10 tahun terakhir abad ke 20 adalah era khas bagi Pena. Beberapa aktiviti seperti ‘Persidangan Penulis Se-Asia 1991’ telah dianjurkan memperlihatkan keterbukaan persatuan ini untuk berdialog dengan dunia universal meski dasar perjuangan kebangsaannya berteraskan bahasa dan budaya Melayu,” kata Setiausaha Agung Pena, SM Zakir dalam satu pertemuan khas dengan SUARA BARU.
Beliau menafikan bahawa Pena semakin lembik, tetapi katanya, Pena bergerak mengikut arus zaman. Dan Pena, jelas Zakir selalu mengambil langkah konsisten bagi memperjuangkan hak penulis dan seniman. “Sejak zaman berzaman, segala idea yang kita bahaskan, dicatat, dibuat memorandum untuk dikaji pihak berwajib agar dijadikan dasar dan dilaksanakan,”
“Selain daripada pelbagai memorandum tentang hadiah sastera, Pena juga mengeluarkan memorandum tentang perlaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan, tentang Pengajian Melayu di Universiti Malaya, tentang percukaian dan royalti. Dari tahun 1992 hingga 2004, sekurang-kurangnya enam memorandum penting dikeluarkan oleh Pena,” tegasnya.
Tambah beliau, beberapa cadangan Pena telah turut diperhatikan kerajaan dan dilaksanakan seperti dalam bidang cukai, kemudahan kredit penerbitan, galakan membaca dan aktiviti kesenian di kalangan seniman tempatan. Bahkan sejak Pena menduduki Rumahnya sendiri bermula 1997 di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, banyak sekali kegiatan penulisan, ceramah, latihan teater serta seni tampak berlangsung.
“Rumah ini kini menjadi tempat bakat baru dan lama berdialog, berkarya dan bereksperimen. Yang paling utama ialah berlakunya interaksi antara pencipta-pencipta lain lapangan seperti penyajak dengan pengarca atau pelukis,”
“Suatu program ‘Malam Baca Puisi Pena’ kini di langsung setiap malam Jumaat pertama saban bulan sedari 1998. Acara ini diadakan di ruang terbuka secara santai bagi mengundang lebih banyak penyertaan generasi muda,” katanya.
Lain Era, Lain Cerita
Menurutnya, pucuk pimpinan Pena era 90an memberi lebih banyak perhatian untuk meningkatkan kerja-kerja penghasilan karya, kerana akhirnya yang akan menjadi warisan bangsa adalah karya-karya berkualiti itu sendiri.
“Pena menaruh harapan tinggi kepada potensi yang ada pada generasi muda yang begitu cergas hari ini. Sehingga dalam jawatankuasa kerja Pena pun diperhatikan supaya adanya penglibatan penggiat sastera daripada golongan muda untuk bersama menentukan hala tuju Pena,” jelasnya.
Pandangan Zakir dipersetujui oleh seorang novelis muda, Zaifulnizam Wagiran, 28, yang juga aktif menghasilkan karya novel. Bagi Zaiful, menjadi harapannya agar kepimpinan baru Pena membuka ruang lebih besar kepada penulis muda untuk memberi impak terhadap kesinambungan perjuangan sastera tanah air kerana masih ramai kalangan mereka yang tercari-cari arah dalam memantapkan penulisan.
“Kepimpinan baru Pena perlu mengemudi kelompok ini ke haluan yang betul, sekali gus menunaikan tanggungjawab moral untuk menambah dan melahirkan lebih ramai bakal sasterawan yang bukan hanya pandai bersenandung, tetapi sebagai pemikir masyarakat,” ujarnya.
Nyata Zaiful seorang pengamat sejarah Pena yang setia. Persatuan ini ujarnya menjadi tempat berkubunya perjuangan sastera tanah air. “Sejujurnya ruang vakum yang dikatakan wujud pada satu peringkat dalam sejarah Pena sebenarnya tidak wujud secara langsung. Cuma antara zaman kebangkitan orang muda di tangan Zakir dan Samsudin Osman wujud gerakan yang memacu kami anak-anak generasi baru.”
Zaiful juga menjelaskan 2004 adalah tahun terpenting dalam hayat kesusasteraannya kerana pada tahun itulah beliau aktif secara langsung di dalam Pena. “Gerakan Pena begitu segar sejak 2004 dan ke atas. Zakir dan sahabat-sahabatnya menggerakkan banyak aktiviti untuk orang muda, saya sendiri diamanahkan untuk menggerakkan Biro Penulis Muda dan sebagai penyelaras Penulis Blog Malaysia.
Kurang Bercakap, Kuat Bekerja
“Justeru saya menafikan adanya vakum itu. Mungkin orang luar tidak nampak adanya gerak kerja kerana kami menumpukan kepada aktiviti peringkat nasional. Kami bergabung tenaga mengadakan program budaya serumpun 2007 yang melibatkan peserta dari seluruh rantau Asean.
“Masyarakat mula membuka mata bila kita mula mengadakan bicara-bicara ilmu dan kemudian dengan penyertaan Sindiket Sol-Jah iaitu Maskara dan program Bicara Pinggir yang melibatkan golongan muda.
“Saya perhatikan orang luar kurang memberi perhatian kerana kurangnya promosi. Manakala bagi anak muda pula merasa janggal dan tidak peduli dengan sastera arus perdana tetapi mereka berminat dengan sastera secara tidak langsung seperti berpuisi atau mendeklamasikan sajak. Tetapi mereka kurang ambil tahu dan merasakan terlalu formal untuk memberi publisiti acara mereka di ruang sastera di dalam akhbar. Pada mereka penyiaran sebegitu hanyalah untuk orang sastera yang ‘core’ dan arus perdana sahaja. Jadi mereka rasa janggal dan terpinggir.
“Kami di Pena bersama sahabat-sahabat dari Sindiket Sol-Jah cuba mengubah senario itu. Kami menarik orang dan bercakap di dalam bahasa mereka. Kelompok muda ini sebenarnya kehausan dan tiada platform untuk berekspresi. Lalu kewujudan Maskara dioptimumkan sepenuhnya.
Zaiful mengakui kualiti yang wujud pada sebilangan peserta namun masih memerlukan bimbingan. “Sastera arus perdana memiliki piawai tertentu yang perlu dipenuhi. Kelompok muda ini pula memang berbakat tetapi kurang memenuhi piawai dan itu menjadikan mereka agak tersisih. Tetapi tanpa sedar jika berada terus berada di luar lingkaran mainstream, mereka tak akan pergi jauh kerana arus perdana khususnya akhbar belum lagi memandang secara menyeluruh golongan underground ini,” jelas beliau lagi.
Sindiket Sol-Jah
Sementara itu, bagi Azlan Hussain atau masyhur di petak blognya sebagai Sinaganaga berkata idea mengadakan acara seumpama Maskara atau Malam Baca Naskhah Sindiket Sol-Jah dan Kawan-kawan Yang Kita Suka di bawah kerjasama Pena dan Sindiket Sol-Jah ibarat memberi peluang kepada penulis dan penggiat seni yang belum mapan.
“Ia juga bersifat sebagai mengumpul semua manusia untuk berkongsi minat yang sama. Sebagai medan pertemuan sahabat dan menjadikan medium ini sebagai tempat neutral untuk semua bertemu tanpa mengira ideologi dan pemikiran,” katanya penuh makna.
Acara ini juga harapnya akan kekal menjadi medan promosi diri untuk penulis baru atau lama yang telah menerbitkan buku. “Kami tidak mengharapkan majlis ini sebagai senjata utama untuk menaikkan taraf sastera dan seni negara. Cukup sekadar memainkan peranan kecil untuk satu ikatan persahabatan sambil mencurahkan kreativiti terpendam. Sebagai satu ruang berkarya, maka kami harapkan agar ia menjadi acara yang tidak dibebankan dengan soal wang,” jelas Azlan seraya menjemput semua pihak menziarahi laman sesawang www.sol-jah.blogspot.com untuk mengetahui lebih lanjut tentang aktiviti mereka.
SINDIKET SOL-JAH
Fokus utamanya banyak tertumpu kepada bidang penulisan. Sehingga kini terdapat 11 judul yang telah diterbitkan di bawah label Sindiket Sol-Jah meliputi antologi (Kudeta, Kalashnikov, K-8 dan Romlah), Blook (You Wanna Gum Sol-Jah, Jongkang Jongket, Ayah Kita Bos, Sabotaj, Roti dan Kopi dan Gangguan Teksual), buku puisi (Sajak-Sajak Suci Abdullah Jones) dan novel (Menara Gedembai). Dalam pada itu, ahli-ahlinya turut aktif dalam gelanggang deklamasi sajak, lukisan, gubahan lagu dan tiga dari sembilan ahlinya mempersembahkan filem pendek mereka dalam acara tayangan filem pendek; Maskara Shorties, dan paling mutakhir telah menganjurkan Malam Balak Malaya khusus untuk jejaka urban menampilkan karya mereka pada Disember 2008 lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan