05 Februari 2009

MASIHKAH RUH PUISI BERSEMANGAT WAJA MERAJA DI JIWA?

Puisi dikatakan salah satu genre yang khusus di dalam kesusasteraan. Menurut William J.Grace bait-bait kata yang terdapat dalam puisi bukanlah sekadar simbol idea sahaja, malahan lebih daripada itu. Grace berpendapat lagi dalam prosa penulis sering kali berbicara tentang sesuatu melalui kata-kata, sementara dalam puisi pula penulis memberikan sesuatu yang luar biasa melalui kata-kata.
Penulis novel klasik War and Peace, Leo Nikolaevich Tolstoy pula dipetik sebagai berkata, terdapat dua asas makna dalam interaksi manusia. Asas pertama ialah manusia berkomunikasi dengan ungkapan pemikiran, dan kedua manusia berinteraksi dengan mengungkapkan perasaan.
Tujuan kesenian atau kesusasteraan pada Tolstoy ialah menyatukan kemanusiaan melalui perkongsian perasaan. Berdasarkan pernyataan-pernyataan tesebut kita dapati bahawa kesusasteraan penting dalam pemikiran dan perasaan manusia.
Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad pula mengatakan, dua elemen asas wajib dijiwai ketika menghasilkan karya sastera ialah pemikiran dan kreativiti. Tanpa gandingan kedua-dua elemen ini, maka tulisan itu sukar diterima sebagai karya sastera.
Karya seni ialah satu pelarian dalam diri di mana adunan mantap antara pemikiran dan kreativiti mampu menyemarakkan imaginasi, intelek, simpati serta moral. Kesasterawanan bermain dengan pemikiran melalui keunikan daya kreativitinya.
Menurut Shahnon lagi, dalam kesasterawanan popular, cerita menjadi keutamaan sedangkan dalam kesasterawanan serius, cerita hanya alat yang tersirat, yang banyak menggunakan simbol-simbol untuk meninggalkan kesan estetikanya.
Puisi adalah lantunan luahan jiwa penyair. Ia adalah asas komunikasi penyair, di antara naluri diri dan konstruk imaginasi. Lalu bagaimanakah bentuk sebuah puisi yang bagus?
Pegawai Kebudayaan Istana Budaya, Rahimidin Zahari menjelaskan puisi yang matang haruslah diangkat dengan ekspresi yang jujur, dan menampilkan satu naratif yang hidup.
“Puisi yang baik sewajarnya diungkap dengan kata-kata yang telus dan mudah: tetapi bukan dipermudah-mudahkan. Ia juga harus pintar mengadun sedikit elemen misteri dan provokasi, tetapi bukan suatu yang terlalu abstrak dan kalut,”
“Sebuah puisi yang bagus semestinya harus mempunyai kesan sentuh dan tujahan makna yang sangat dalam kerana sastera yang indah selalunya lahir secara bersahaja, bukan dipaksa-paksa,” jelasnya yang aktif melahirkan puisi-puisi Islam.
Menurut Rahimidin lagi, berbeza dengan penulis-penulis sebelum merdeka seperti pada zaman penjajahan mereka menulis kerana ada sesuatu mesej yang tertentu iaitu untuk menghalau penjajah dan bertapak terus di bumi bertuah Malaysia yang kita semua cinta.
“Penulis-penulis sebelum merdeka atau pra merdeka bolehlah digolongkan memperjuangkan konsep sastera memimpin. Apa juga karya-karya sastera yang mereka hasilkan seperti cerpen, sajak, novel, drama dan seumpamanya mempunyai mesej-mesej tertentu di sebalik yang tersirat dan yang tersurat. Mereka memperjuangkan semangat kebangsaan dan meniupkan serta menyalurkan semangat dan idea-idea agar negara dibebaskan dan belenggu penjajahan menerusi karya-karya mereka,” ujarnya.
Tulisan-tulisan mereka cuba memimpin pembaca dengan menerapkan dalam karya-karya mereka semangat patriotik, jihad dan membakar semangat juang penduduk peribumi agar memperjuangkan nasib dan kedudukan mereka yang kian terancam di negaranya sendiri.
Sasterawan-sasterawan seperti Ishak Haji Muhammad menerusi novelnya Putera Gunung Tahan, Keris Mas menerusi cerpen-cerpennya, Ahmad Boestamam menerusi novel-novelnya meniupkan semangat memperjuangkan kebebasan rakyat negeri dan belenggu penjajahan dan bangkit menentang penjajah kolonial Inggeris dan Jepun pada masa itu.
Karya-karya mereka memimpin pembaca dan membangkitkan kesedaran yang keras dan mendalam agar segera bangun dari tidur yang panjang membela hak-hak asasi orang-orang Melayu sebagai peribumi.
Begitu juga sajak-sajak yang dihasilkan semasa zaman pendudukan Jepun atau Inggeris, menerusi sajak-sajak mereka ‘memimpin’ pembaca agan bangun berjuang membela hak dan kebenaran. Sajak-sajak yang dikarang rata-ratanya meskipun berunsur propaganda agar bangun berjuang, masihmengekalkan unsur-unsur seni dan sasteranya.
Berbeza dengan kedudukan sastera kita masa kini yang lebih menjurus ke arah sastera terpimpin. Penulis-penulis kebanyakannya tidak menulis sesuatu tema yang besar yang boleh dibanggakan hingga ke peringkat antarabangsa. Penulis-penulis dan sasterawan kita masih leka dengan tema-tema biasa yang tidak mencabar daya intelektual dan pemikiran yang mendalam ataujauh jangkauannya. Meskipun begitu di celah kejatuhan mutu sastera kita muncul juga sebuah dua novel yang boleh dibanggakan.
Novel-novel Melayu pada masa kini yang boleh dibanggakan seperti Seorang Tua Di Kaki Gunung, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Sesudah Fajar Selepas Senja, Saga dan sebagainya yang begitu popular di mata umum.
Fungsi puisi bagi para pemerhati, pengkaji dan pencinta seni kreatif dilihat sebagai satu manifestasi daripada kecintaan manusia yang tinggi terhadap hidup, kehidupan, kemanusiaan, alam dan segala isi jagat yang diciptakan Tuhan. Hal ini ditegaskan oleh Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena), Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir).
Ujarnya, wujud jalinan fizikal dan spirituil yang kelak dapat memperkaya pengalaman hidup kita. Kerana itu, puisi dilihat sebagai mempunyai auranya sendiri dalam satu jalinan atau tautan yang mesra kepada pencintanya.
“Puisi adalah cabang seni yang sangat penting. Selaras dengan ajaran agama, puisi menganjurkan bagaimana seharusnya manusia berkomuniti dan menjalani kehidupan yang murni di dalam sesebuah negara.,” ujarnya.
Menyorot kepantasan hidup rakyat Malaysia pada hari ini yang dikatakan semakin meminggirkan puisi di dalam kehidupan, SM Zakir menjelaskan, “ Inilah harga yang perlu dibayar lantaran kemasukan hegemoni budaya Barat yang terlalu mengangkat elemen hiburan.
“Sedangkan hakikatnya puisi adalah media budaya. Peranan puisi sangat besar. Tamadun Arab Jahiliyah contohnya memiliki penanda arasnya tersendiri terhadap puisi,”
Demikian juga tamadun India yang menerbitkan puisi daripada bait bait petikan Kitab Veda iaitu penyampaian dari alam ketuhanan ke alam manusia. Ia disampaikan bukan dengan bahasa biasa bahkan disampaikan dalam bentuk nilai intelektual.
Tegasnya, kini oleh kerana umat moden terlalu banyak ruang hiburan maka rakyat semakin dilumpuhkan dari mencipta peradaban kerana Barat telah mengambil peranan meneruskan hegemoninya; bukan hegemoni politik tetapi hegemoni budaya.

Tiada ulasan: