10 April 2012

cerita dalam hujan





SAYA sangat suka mendengar bunyi hujan. Kalau Kuala Lumpur lama tidak disimbah hujan, saya jadi rindu. Rindu untuk mendengar bunyi desir angin yang sesekali membawa kebasahan ke seluruh beranda pangsapuri saya lalu menyiram bunga-bunga orkid yang bergantungan segar.
Ada orang tidak suka hujan. Katanya hujan merencatkan agendanya. Hujan membantutkan program yang lama dirancang. Katanya lagi, hujan membuatkan segala benda terganggu. Jangan begitu.
Kerana hujan yang turun membawa selaksa rahmat besar untuk umat. Hujan lebat, hujan renyai atau hujan gerimis semuanya kebahagiaan yang sukar digambarkan kerana bersamanya ada himpunan kasih sayang Tuhan Yang Maha Agung.
Hujan turun membersihkan segala asap jelaga debu kotor, melenyapkan gersang tanah, menyuburkan tanaman, mengairkan sarap sampah ke lohong longkang besar lalu seluruh alam sirna dalam kelabu hujan yang lebat. Ketika hujan berhenti, segarnya maya pada. Hijaunya alam terasa.
Lalu apa yang sewajarnya anda dan saya balas kepada himpunan kasih sayang Tuhan yang tidak pernah berhenti menyayangi kita? Maka balaslah dengan menadah tangan kesyukuran kerana DIA masih ingat kepada kita lalu dicurahkan rezeki yang tidak pernah putus untuk kita. Alhamdulillah.

Tiada ulasan: