12 Mei 2011

belasungkawa

Salam Takziah untuk abang Nazri Birat - Juru Grafik aku yang aku kasihi- kerana pada semalam beliau telah kehilangan bapa saudaranya yang dikasihi.-wartawan veteran yang dijulang seMalaysia- Encik Aimi Jarr. Aku tidak mengenali Allahyarham Aimi atau nama benarnya Omar @ Abdul Majid secara personal. Tetapi aku selalu melihat beliau berlakon dalam drama mahupun filem, selalunya dibawah arahan Datuk Yusuf Haslam. Pernah jua aku berjabat tangan dengan beliau ketika sidang-sidang prebiu filem. Untuk semua aku lampirkan keratan Harian Metro berkenaan belasungkawa Allahyarham. Semoga Allahyarham Aimi digolongkan bersama hamba-hamba yang dikasihi Allah. Al Fatihah.

11 Mei 2011 : Harian Metro
Belasungkawa Aimi Jarr (1939 - 2011): Perginya Pakar Rujuk Bintang Lama
Oleh RIDZUAN ABDUL RAHMAN

SIAPA tidak kenal dengan pelakon veteran Aimi Jarr atau nama sebenarnya Omar@Abdul Majid Puteh. Anak kelahiran Kampung Petani, Kuala Terengganu, Terengganu pada 25 Julai 1939 ini mula bergiat cergas sebagai pelakon dan menulis skrip sejak 1962. Kariernya sebagai penulis bermula sekitar 1957 apabila berhijrah ke Singapura dan diterima menjadi pemberita pelatih di majalah mingguan Gelanggang Filem terbitan Tan Sri P Ramlee.

Pada 1 Julai 1970, dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat sebagai penolong editor sebuah majalah filem dan fesyen sebelum menjadi penyunting sebuah akhbar nasional. Dalam seni, karier lakonannya terserlah apabila mewarnai pelbagai drama dan filem terutama terbitan Skop Productions Sdn Bhd antaranya menerusi filem MX3 (2003), Gila-Gila Pengantin (2003), Pontianak Harum Sundal Malam (2004) dan Gila-Gila Pengantin Remaja (2004).

Sebelum itu, Aimi pernah bergelar kru untuk filem Tiada Esok Bagimu (1979), Detik 12 Malam (1979), Esok Masih Ada (1979), Jejak Bertapak (1981), Dia Ibuku (1981) dan Kabus Tengahari (1982). Pada 1981, Aimi menempa kejayaan besar apabila meraih gelaran Penulis Lakon Layar Terbaik Festival Filem Malaysia Kedua. Bahkan dia turut aktif membuka peluang kepada bakat baru yang berminat menceburi bidang seni apabila menganjurkan kursus Belajar Berlakon dan Menulis Skrip melalui pos yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.

Inilah sumbangan besarnya bagi menyemarakkan lagi dunia seni tanah air. Disebabkan hubungan yang rapat dengan P Ramlee, Aimi turut aktif menghasilkan buku berkaitan Seniman Agung ini antaranya P Ramlee - Legenda Yang Terus Hidup, P Ramlee Dari Kacamata Aimi Jarr dan P Ramlee - Insan Pesona Seni. Dia juga turut menghasilkan buku mengenai pelakon lain serta era Kegemilangan Filem Melayu Jalan Ampas menerusi buku Bermulanya Filem Melayu, Jejak Terbilang dan banyak lagi.

Tanggal 10 Mei (semalam), Aimi meninggalkan kita apabila menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Melawati pada jam 8.05 pagi akibat serangan jantung. Keadaan kesihatannya sebelum itu lemah akibat menghidap kencing manis. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Klang Gate Baharu, Taman Melawati selepas Zuhur.

Pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam, menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buatnya. Apatah lagi hubungan mereka seperti adik dan abang kerana terjalin sejak 38 tahun lalu. “Saya kenal dia sejak tahun 1973 dan ketika itu usia saya baru 19 tahun. Kami kenal sejak saya mula bertapak sehinggalah menubuhkan syarikat sendiri. Dia rajin datang ke rumah saya untuk berbual pelbagai perkara.

“Selepas kontrak bekerja tamat, dia jumpa saya dan ambil dia bekerja sekadar untuk duduk sebagai penasihat. “Ini ialah sumbangan khas saya kepadanya sebagai kawan lama dan sebagai teman bicara selain menjadi panel penyunting skrip. “Semalam dia datang pejabat, tapi saya tak sempat berbual dengannya kerana terlalu sibuk. Saya memang nampak keadaannya tak sihat. Tiba-tiba saja pagi tadi anaknya hubungi saya beritahu Aimi sudah tiada.

“Saya reda dengan pemergiannya dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang dirahmati Allah. “Allahyarham pernah juga berkata hayatnya seakan tak lama kerana ada menghidap beberapa jenis penyakit,” katanya. Senada dengan Datuk Yusof, pelakon dan pengarah terkenal Tan Sri Jins Shamsudin turut menganggap beliau kehilangan kawan rapat yang banyak berkongsi suka duka ketika dulu.

“Allahyarham seorang sahabat yang sangat rapat semasa di Singapura bersama P Ramlee. “Kami banyak melalui pengalaman bersama ketika zaman filem Melayu Jalan Ampas. Hubungan itu berterusan apabila kami berhijrah ke Kuala Lumpur. “Saya doakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya,” katanya ketika dihubungi. Sementara itu, rakan lama serta bekas majikan Aimi di majalah Pesta, wartawan hiburan tersohor Fauziah Raof berkata, hubungannya dengan Allahyarham seperti adik-beradik.

Katanya, ketika sama-sama bekerja dalam bidang hiburan, Aimi sering memberitahu banyak perkara mengenai P Ramlee. “Saya anggap dia sebagai pakar rujuk dan kamus kerana banyak fakta bintang lama yang diketahuinya. “Aimi akan bercerita mengenai P Ramlee, Saloma dan Ahmad Mahmud. Walaupun saya cuba bergurau, dia tetap ingat fakta berkaitan seseorang artis. Bahkan dia juga banyak buat buku mengenai artis.

“Sepanjang lebih tiga tahun bersama Pesta, saya dapati komitmennya sangat tinggi. Bahkan dia yang banyak ajar wartawan baru dalam kerjaya ini. Allahyarham seorang yang tak lokek ilmu. “Pemergiannya memang satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air,” katanya yang kali terakhir berjumpa Aimi dua bulan lalu. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate, Hulu Klang selepas solat Zuhur. Beliau meninggalkan balu, Noriah Ishak, 64, dan tiga anak - Norimy, 44, Norlizda, 40, Romy, 34, serta dua cucu.

Tiada ulasan: