08 September 2009

JALAN LUAS AKAN TERBUKA

SETIAP masa anda dan saya tentu pernah menemui sebuah persimpangan dalam kehidupan. Ketika itu perlu pula membuat satu pilihan yang tepat. Pilihan hati atau pilihan iman. Kalau diikut pilihan hati seronoklah rasanya, andai diikut pilihan iman pula,rasa susah sungguh di dalam dada. Pilihlah…dan tentukanlah apa yang terbaik.
Bagi anda pembaca Muslimin, ketika itu benamkanlah perasaan ke dalam diri dan pulangkanlah segala persoalan kepada Allah SWT menerusi ibadat solat dan berdoa dengan bersungguh hati, manakah satu pilihan yang sebenarnya yang telah diperuntukkan untuk kita. Manakala bagi pembaca bukan Muslim pula, bertafakkur seketika mencari keputusan paling tepat adalah terapi terbaik.
Orang tua-tua selalu berkata, ‘tepuk dada tanya selera’. Benar, maksudnya, tanyalah apa yang diri kita mahukan, kemudian persoalkan kembali benarkah itu pilihan terbaik yang sesuai buat kita.
Selera maksudnya keinginan atau nafsu. Kehendak nafsu tidak akan pernah diam dan berhenti. Ia akan terus hendak dan hendak lagi. Justeru, yang terpenting adalah kemungkinan besar apa yang hati inginkan dan selera mahukan adalah pilhan yang bukan diperlukan oleh iman.
Sebab itu, Islam menganjurkan agar, ketika hati berdepan dengan persimpangan yang nyata, agar jiwa segera kembali undur selangkah dan berastaghfar. Ketika itu, renung kembali apakah matlamat kita. Palingkan kembali, apakah sebenarnya niat kita lalu “tepuklah dada dan tanyalah iman”..insya Allah, DIA akan luaskan jalan-jalan hikmahNya untuk kita.
Sengaja saya sentuh persoalan ini kerana saya sedar kita semua akan sering bertemu konflik sebegini. Yang terbaik adalah sentiasa meredakan diri menerima segala ketentuan Yang Maha Kuasa dengan seadanya. Apatah lagi bagi anda pembaca budiman yang masih muda, kadang kala bila tersilap percaturan membuat keputusan pada hari ini, implikasinya akan berlarutan bila dewasa nanti. Fikir-fikirkanlah, kerana ‘hidup hanya sekali, dan ianya terlalu indah untuk dipersiakan..’

Tiada ulasan: