Percayakah anda kalau saya katakan bunga-bungaan memiliki tenaga yang mampu meningkatkan cas positif dalam diri. Kalau anda ragu, malam ini sebelum tidur isikan sebalang pasu tinggi dengan air dan penuhkan dengan bunga pelbagai jenis seperti orkid, kekwa, mawar, chrysanthemum, melur, tikam seladang atau sebagainya. Letakkan pasu yang sudah digubah indah itu dihujung katil atau di atas almari solek anda. Dan tidurlah dengan nyenyak. Insyaallah, subuh esoknya anda akan bangun dengan hati yang lapang, minda yang tenang, jiwa yang ceria juga fizikal yang bertenaga. Cubalah, anda pasti takkan menyesal.
Bunga-bungaan sebenarnya memiliki aura atau tenaga positif yang sangat tinggi dan ia mampu menyembuhkan penyakit emosi, juga derita jiwa manusia. Perhatikan, di dalam ilmu perdukunan tradisional mesti menggunakan tujuh jenis bunga pelbagai warna untuk menaikkan seri wajah ketika berubat. Dan amalan ini telah dibawa ke era moden. Meskipun spa-spa moden menggunaka peralatan tercanggih dalam pasaran, atau dikemaskan dengan jubin terbaik serta hiasan binaan dalam seperti memasuki sebuah istana ala Eropah, namun amalan tradisi iaitu berendam menggunakan ajnas bungaan tetap menjadi aturan prima.